PUTRAJAYA tidak bertanggungjawab apabila membelanjakan lebih banyak wang untuk mewujudkan jawatan baharu Kabinet ketika rakyat menderita akibat pandemik Covid-19, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu menyeru ahli Parlimen untuk menolak rang undang-undang (RUU) yang hanya akan menambah perbelanjaan kerajaan.
Beliau berkata ramai yang hilang kerja dalam tempoh pandemik ini, menyebabkan mereka tidak ada pendapatan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata perniagaan dan industri juga terjejas teruk, dan dalam keadaan ini, kerajaan tidak dapat mengutip cukai yang banyak.
“Dalam keadaan ini, kerajaan patut mengurangkan perbelanjaan supaya tidak berdepan defisit tinggi.
“Tetapi dalam RUU itu, kerajaan bercadang menambah perbelanjaan dan ini tidak bertanggungjawab,” katanya ketika membahaskan RUU Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020.
Dewan Rakyat akan mengundi untuk meluluskan RUU itu hari ini.
Kabinet pada masa ini terdiri daripada 31 menteri dan 28 timbalan menteri.
“Bila kita ada banyak wang, kita boleh belanja tetapi bila ada sedikit, kita patut belanja sedikit.
“Namun, kita dapati kerajaan menambah jumlah menteri Kabinet tanpa mempertimbangkan kemampuan kewangan kerajaan,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata Pakatan Harapan menurunkan jumlah menteri dan timbalan menteri ketika dua tahun setengah menerajui kerajaan.
“Sekarang bila kita dalam keadaan di mana pendapatan kerajaan menurun, mereka menaikkan jumlah menteri lebih 30 orang,” katanya.
Dr Mahathir berkata beberapa individu dilantik sebagai menteri kanan sementara yang lain diberikan jawatan duta khas bertaraf menteri untuk menjaga hubungan dengan beberapa negara seperti Timur Tengah.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang ialah duta khas ke Timur Tengah. – 17 Ogos, 2020.
Tinggalkan komen anda