Umno tidak mahu terheret isu calon jawatan PM, kata Zahid


shadow

UMNO tidak akan terheret dengan retorik mengenai calon perdana menteri seterusnya, kata presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.

Parti yang mengetuai Barisan Nasional (BN) dan gabungan itu juga akan terus menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tambahnya.

“Umno sedar terdapat usaha giat dlakukan untuk menggugat kedudukan perdana menteri oleh pihak-pihak yang mahu merebut jawatan berkenaan.

“Arahan telah dikeluarkan kepada semua ahli Parlimen Umno dan BN untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada terus diganggu-gugat oleh pihak pembangkang,” kata Zahid dalam satu kenyataan.

“Fokus Umno ketika ini adalah untuk memastikan isu-isu berkaitan kebajikan dan kepentingan rakyat yang semakin tertekan dalam menghadapi bebanan hidup pasca Covid-19.”

Kenyataan Zahid ini selepas pertemuan antara ketua semua parti Pakatan Nasional (PN) dengan Muhyiddin di Putrajaya minggu lalu, dengan semua pihak menyatakan sokongan terhadap pemerintahannya dan kepimpinan beliau sebagai perdana menteri.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bertindak lebih jauh apabila keesokan harinya berkata pakatan Muafakat Nasional yang terdiri daripada PAS dan Umno, bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri untuk pilihan raya ke-15.

Kenyataan itu menimbulkan perdebatan, dengan beberapa pemimpin Umno berkata Umno harus mencalonkan calonnya sendiri kerana parti itu lebih besar dan mempunyai lebih banyak kerusi berbanding Bersatu. 

Sementara yang lain berkata sokongan Umno terhadap Muhyiddin ketika ini adalah untuk memastikan kestabilan pemerintahan PN.

Sementara itu, pembangkang juga berusaha mencapai kesepakatan mengenai calon perdana menteri mereka, setelah PKR dan presidennya Anwar Ibrahim menolak cadangan Dr Mahathir Mohamad untuk memegang jawatan itu sekali lagi.

Tinggalkan komen anda