Penukaran Yang di-Pertua Dewan atau Speaker yang diusulkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat bercanggah dengan amalan demokrasi di negara ini.
Perkara itu dinyatakan oleh 6 MP berikutan melihat barisan pembangkang tidak diberi hak sama rata untuk berbahas sepanjang sidang Parlimen semalam.
Menerusi kenyataan media yang diberikan, Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abd Rahman, Dr Maszlee Malek, Datuk Amiruddin Hamzah serta Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebulat suara menyatakan kekesalan diatas tindakan kerajaan Pintu Belakang itu.
“Kami amat kesal dengan apa yang berlaku semasa sidang Dewan Rakyat semalam untuk mengganti Yang di-Pertua Dewan atau Speaker, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusoff yang diusulkan oleh YAB Perdana Menteri.
“Tiada alasan munasabah diberi dan perbahasan pula tercemar dengan tingkah laku biadab oleh beberapa wakil rakyat yang kini menjadi wakil rakyat Kerajaan.
“Mereka menjadi wakil rakyat Kerajaan dengan melanggar amalan demokrasi negara sejak merdeka atau yang kita kenali sebagai Kerajaan pintu belakang.
Malah, pembangkang juga tidak diberi masa yang cukup untuk membahas suatu usul yang julung-julung kali dalam sejarah Dewan Rakyat Malaysia.
“Kami juga kesal apabila Speaker yang baru, Yang Berbahagia Datuk Azhar bin Azizan@ Harun terus mengambil tempat mempengerusikan mesyuarat tanpa Usul No.3 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul semasa persidangan Dewan Rakyat dibahas dan diundi oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Pembangkang juga dinafikan hak untuk mengemukakan calon Speaker apabila notis 14 hari tidak diberi apabila berlaku kekosongan jawatan pada 13 Julai 2020.
Begitu juga dengan kedudukan Yang Berhormat Nga Kor Ming selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
“Apabila beliau meletak jawatan seharusnya notis 14 hari dikeluarkan bermula dari tempoh tersebut dan bersesuaian dengan Usul No.5 Urusan Mesyuarat dan Usul-usul.
“Speaker Dewan seharusnya seorang yang ‘impartial’ atau tidak berpihak dan bukan yang dipilih untuk memenuhi segala kehendak Eksekutif.
“Agak pelik Ahli Parlimen Pagoh tidak meneruskan pencalonan Yang Berbahagia Datuk Azhar bin Azizan@Harun untuk pengundian oleh AhliAhli Dewan Rakyat memandangkan pihak ‘Perikatan Nasional’ telah pun mendapat undi majoriti 111 ketika usul mengosongkan jawatan Speaker.
Justeru, kesemua 6 MP terbabit menegaskan bahawa Speaker yang ada pada hari ini bukanlah yang dipilih oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat kerana proses pengundian tidak diadakan.
“Parlimen merupakan gedung bercakap. Suara rakyat mesti dimartabatkan melalui wakil rakyat di Parlimen. Apabila Kedaulatan Undang-Undang atau Rule of Law diketepikan institusi demokrasi negara akan tercemar dan terhakis.
Tinggalkan komen anda