Zahid jumpa Ku Li, bincang PRU15


shadow

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi membayangkan kesediaan partinya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ketika ada desas-desus pilihan raya lebih awal mungkin diadakan untuk menyelesaikan ketidaktentuan politik selepas pertukaran kerajaan di Putrajaya sejak lebih 100 hari lalu.

Zahid malam tadi memuat naik di Facebook gambar pertemuannya dengan Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah. 

“Perbincangan dengan YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Pengerusi Lembaga Penasihat Umno mengenai isu-isu semasa dan hala tuju ke arah memperkukuhkan parti menghadapi PRU15,” tulisnya, mengiringi paparan gambar itu.

Pegawai Zahid mengesahkan pertemuan berlangsung di kediaman Tengku Razaleigh di Kuala Lumpur, petang semalam.

Pertemuan berlangsung hampir dua minggu selepas Zahid menerima kunjungan bekas presiden Umno Najib Razak yang juga pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN), juga membincangkan mengenai PRU15.

“Kami sudah siap siaga untuk PRU15.

“Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?” tulis Zahid di Facebook pada 3 Jun lalu.

Umno yang menunjangi BN kini bersama dengan Bersatu dan PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), yang menggantikan Pakatan Harapan di Putrajaya selepas percaturan politik pada hujung Februari lalu.

Umno juga membentuk kerjasama rasmi dengan PAS atas nama Muafakat Nasional, yang dimeterai pada September 2019.

Gabungan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat dukungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain di Sabah dan Sarawak, serta wakil rakyat bebas. 

Minggu lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti Islam itu yakin parti-parti dalam gabungan PN sudah bersedia untuk memukmadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun dalam reaksi segera berkata pandangan tersebut hanya mewakili pendirian PAS dan bukannya pendirian rasmi PN.

Desas-desus mengenai pilihan raya lebih awal ini muncul ketika Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti yang tipis di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat dijadual bersidang tujuh minggu antara 13 Julai hingga 27 Ogos, dengan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin menunggu untuk dibawa ke dalam mesyuarat. 

Usul dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad, dan dimaklumkan diterima oleh Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof pada 8 Mei.

Usul itu tidak dibawa pada mesyuarat pertama Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu kerana persidangan itu ditetapkan hanya untuk pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14, dan hanya mendengar titah diraja.

Semasa sidang pembukaan itu, 114 ahli Parlimen ditempatkan di blok kerajaan. Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat bagaimanapun kemudian menjelaskan beliau masih bersama blok pembangkang.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar PKR untuk menyokong kerajaan Muhyiddin dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. 

Beliau memberi alasan sebagai wakil rakyat kawasan pedalaman, beliau perlu menyokong kerajaan untuk mendapatkan dana bagi pembangunan.

Dengan sokongan Jugah, Muhyiddin dipercayai mempunyai tiga majoriti daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, selepas Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh yang letak jawatan timbalan menteri pada 4 Jun dilaporkan masih menyokong PN.

Tinggalkan komen anda