ADA yang tidak kena dengan pelaksanaan undang-undang, kata bekas wartawan A Kadir Jasin, apabila bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dilepas dan dibebaskan daripada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram sementara seorang pencuri petai di Terengganu meringkuk dalam penjara selama 15 bulan.
Kadir menerusi catatan di Facebook hari ini berkata banyak persoalan yang belum terjawab mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Musa daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Hakim Mahkamah Tinggi semalam melepas dan membebaskan Musa daripada kesemua pertuduhan itu berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.
“Tidak seperti buruh di Terengganu yang didakwa kerana mencuri petai dan dihukum penjara 15 bulan, Musa didakwa dengan 46 pertuduhan jenayah membabitkan AS$50.1 juta,” katanya.
Menurut Kadir, walaupun Adun Sg Sibuga itu dituduh dengan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram tetapi tidak satu pun dapat dibuktikan.
Katanya terdapat kritikan terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas dan penggantinya, Idrus Harun, berkenaan kes Musa.
“Persoalan yang ditanya adakah Thomas tidak menjalankan tugas sebagai peguam negara, sebaliknya menyerahkan kes Musa untuk memenuhi keperluan politik kerajaan hari ini,” kata Kadir.
Penasihat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu seterusnya berkata tidak kiralah seorang peguam negara itu dilantik oleh Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional, undang-undang tidak berubah.
Menurutnya, hakikat bahawa wang yang terbabit disimpan di Hong Kong menimbulkan persoalan bagaimana sumbangan politik disimpan jauh di wilayah di China itu.
“Ia hanya mencetuskan andaian bahawa wang itu adalah dana sulit.
“Kebergantungan terhadap hasil sisasatan Suruhanjaya Bebas Rasuah Hong Kong (ICAC) perlu diberi perhatian, kerana undang-undang kita tidak seharusnya akur kepada kepada hasil siasatan suruhanjaya Hong Kong,” tambah Kadir.
Katanya lagi, memandangkan rasuah itu didakwa berlaku di Sabah dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka hasil siasatan agensi anti rasuah itu yang harus diutamakan.
“ICAC Hong Kong lebih berat kepada cara dana itu disimpan, bukan sumbernya.
“Turut jadi persoalan ialah mengenai kepakaran agensi anti rasuah kita berbanding rakan sejawatnya dari Hong Kong.”
Tinggalkan komen anda