Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Salleh hari ini mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya berkuatkuasa hari ini.
Menerusi kenyataan yang dibuat, Shahruddin mengatakan bahawa keputusan perletakkan jawatan diambil berikutan beliau telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional PN.
Sebelum ini, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri selepas membuat keputusan untuk bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perikatan Nasional.
“Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14,
“Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh YAB Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN,” katanya.
Terdahulu, tiga pemimpin Bersatu di peringkat pusat dan negeri yang diketahui umum berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad mendakwa telah dipecat oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Mereka adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahya, dan timbalan Pengerusi Bersatu Kedah Anuar Abdul Hamid.
Surat penamatan perkhidmatan ketiga-tiga mereka bertarikh 2 Jun dan menggunakan kepala surat Presiden Bersatu. Ia ditandatangani oleh Muhyiddin selaku presiden parti dan pemangku pengerusi.
Menurut surat itu, semua ketiga-tiga mereka ditamatkan jawatan masing-masing berkuatkuasa serta merta. Tidak ada sebarang alasan yang diberikan oleh Muhyiddin.
Tinggalkan komen anda