Sukar bayangkan Armada tanpa Syed Saddiq


shadow

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rais Hussin Mohamed Arif menyatakan sukar bagi dirinya untuk menggambarkan sayap pemuda parti itu tanpa teraju bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Sukar bayangkan Armada tanpa Syed Saddiq.  Saya berada di sana sejak awal penubuhannya. 

“Ini sangat tidak betul,” ciap Rais di Twitter.

Syed Saddiq bersama empat lagi ahli termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah digugurkan keanggotaan daripada Bersatu kerana duduk di kerusi pembangkang pada sidang Dewan Rakyat selama satu hari pada 18 Mei lalu.

Bagaimanapun, kelima-lima ahli parti berkenaan telah mempertikaikan keputusan tersebut.

Malah, Dr Mahathir yang mengaku masih pengerusi Bersatu yang sah menegaskan bahawa anggota Dewan Rakyat bebas memilih untuk duduk di mana sahaja mereka mahu di parlimen.

Menjawab ciapan Rais, Syed Saddiq berkata Armada akan tetap berjuang meskipun dirinya telah disingkirkan daripada Bersatu tanpa proses sewajarnya.

“Armada adalah milik dan dikuasakan oleh semua ahlinya.

“(Tindakan) segelintir (pihak) tidak akan menundukkan kami.

“Semasa musim pemilihan parti, mereka pecat kami tanpa proses, kerana takut akar umbi bersuara menentang kemungkaran,” ciap Syed Saddiq di Twitternya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Bendahari Bersatu Muar Afiqah Zulkifli berkata bahawa Bersatu di bahagiannya menyuarakan sokongan penuh terhadap Syed Saddiq kekal sebagai ahli parti.

“Mesyuarat Bersatu Bahagian Muar pada 30 Mei 2020 sebulat suara menyokong Syed Saddiq sebagai ahli Bersatu.

“Semalam, Srikandi dan Armada Bahagian Muar sekali lagi menyuarakan sokongan pada pimpinan Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu dan YB Saddiq sebagai Ketua Bahagian Muazr,” katanya.

Tinggalkan komen anda