Rancangan peralihan kuasa goyah akibat kebuntuan antara Dr M, Anwar


shadow

Usaha melakukan ‘serangan balas’ terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat goyah ketika Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya cuba memecahkan kebuntuan antara pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Di tengah pergeseran itu, Mahathir menawarkan Anwar jawatan timbalan perdana menteri, sementara beliau mengambil alih jawatan perdana menteri selama enam bulan sebelum melakukan peralihan kuasa – sesuatu yang tidak dapat dipersetujui oleh PKR.

“Sebilangan besar anggota parlimen PKR tidak mahukannya,” kata sumber parti itu kepada Malaysiakini.

Sumber lain yang bercakap kepada Malaysiakini menjelaskan kurangnya keyakinan bahawa Mahathir akan mengakhiri tawar-menawarnya.

Kecurigaan terhadap Mahathir bermaksud PKR hanya bersedia memberikan sokongan untuk mengambil alih semula kerajaan sekiranya Anwar menjadi perdana menteri.

Kecurigaan itu dikatakan berasas kerana ketika mesyurat dalaman Bersatu yang bocor, Mahathir bersedia menepati janjinya untuk mengundurkan diri sebagai perdana menteri namun tidak kelihatan bersedia mengumpulkan sokongan anggota parlimen Bersatu terhadap Anwar.

Menerusi rakaman audio yang bocor itu, Mahathir bahkan mencadangkan agar beliau kembali menjadi perdana menteri setelah mengundurkan diri sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan meminta para pemimpin Bersatu tidak menekannya menyingkirkan PH sehingga tiba waktunya.

Bersatu, di bawah presidennya Muhyiddin Yassin, enggan menunggu dan memutuskan untuk membentuk kerajaan baru dengan BN, PAS, bekas pemimpin PKR, GPS, PBS dan STAR di bawah Perikatan Nasional.

Apabila dibantah Mahathir, beliau dan sekutunya disingkirkan daripada Bersatu.

Pemimpin PKR tidak mahu berhadapan dengan situasi serupa yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

Di pihak satu lagi, kumpulan Mahathir dalam Bersatu bertegas bahawa beliau  harus menjadi perdana menteri.

Di tengah-tengah konflik berkenaan, beberapa pemimpin Bersatu secara terbuka menyatakan PH hanya boleh menarik sokongan dari blok Malaysia Timur, yang berperanan untuk memastikan kerajaan stabil, jika Mahathir mengetuai kerajaan.

Malaysiakini difahamkan bahawa PH berusaha mendekati Presiden Warisan, Shafie Apdal agar menyokong Anwar untuk faedah tertentu.

Shafie sebelum ini antara pemimpin yang dikaitkan dengan langkah penubuhan PN. 

Bagaimanapun, ketua menteri Sabah itu dan partinya terperangkap apabila Mahathir tidak menyokong penjajaran semula politik baru itu.

Atas sebab ini, Malaysiakini difahamkan DAP dan Amanah berusaha meyakinkan PKR untuk menerima perjanjian dengan Mahathir, dengan alasan bahawa peralihan akan berlaku dalam tempoh enam bulan.

Ini belum cukup baik baik bagi PKR.

Seorang pemimpin dari kem Mahathir berkata Anwar boleh diketepikan jika tidak menerima perjanjian itu.

“Terserah kepada Anwar untuk menerima perjanjian itu atau Mahathir atau timbalan perdana menteri yang lain akan dipertimbangkan.

“DAP dan Amanah berada di belakang Mahathir sepenuhnya”.

Isyarat diberikan bahawa kem Mahathir mungkin akan mencari pilihan lain sekiranya Anwar tidak menerima tawaran mereka, termasuk memilih perdana menteri yang berbeza.

Sumber-sumber PKR mengatakan sentimen umum ialah parti itu bersedia untuk mempertahankan pendiriannya walaupun bersendirian.

Anwar, dalam wawancara dengan Malaysiakini berkata beliau tidak akan berkompromi dengan prinsip demi mencapai angka yang diperlukan.

Pemimpin PKR yang lain juga dilihat mengambil pendirian ini.

Namun, di sebalik kekecewaan dalaman, seorang pemimpin PKR menolak kemungkinan perpecahan dalam PH.

Realitinya adalah sama ada Anwar atau Mahathir tidak akan dapat mengambil alih kerajaan jika mereka tidak bekerjasama, tidak kira di pihak mana sokongan diberikan oleh DAP, Amanah atau Warisan.

PH dan sekutunya semalam mengadakan mesyuarat semula di Kuala Lumpur  tetapi gagal memecah kebuntuan, menurut beberapa pemimpin PH yang bercakap dengan Malaysiakini.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayob juga mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

“Kami belum mencapai keputusan,” katanya.

Walaupun rundingan dilakukan sukar, Salahuddin mengulangi bahawa PKR, Amanah dan DAP tetap utuh sebagai sebuah gabungan.

Namun dalam dua minggu usaha mengambil alih semula kerajaan menjadi goyah selepas Anggota Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang mengumumkan keluar PKR sekali gus meningkatkan majoriti PH di Dewan Rakyat kepada tiga kerusi.

Pengarah strategik Amanah, Dzulkefly Ahmad juga mengakui  PH berlumba-lumba dengan masa sekiranya memiliki harapan untuk mengambil alih semula kerajaan dalam penggal ini.

PH perlu membuat keputusan setelah Mahathir dan pemimpin Warisan hadir ke ibu pejabat PKR Selasa lalu bagi mengadakan pertemuan, yang berakhir tanpa sebarang keputusan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata keputusan harus diumumkan selewat-lewatnya Selasa ini, dan kegagalan untuk berbuat demikian akan memberikan gambaran buruk terhadap PH.

Malaysiakini difahamkan mesyuarat baru masih belum ditetapkan walaupun tarikh akhir keputusan hanya dua hari lagi.

Tinggalkan komen anda