PRK Chini: BERSATU tidak letak calon


shadow

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, 4 Julai ini bagi memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata keputusan itu untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN bagi mewakili Perikatan Nasional (PN).

“Seluruh jentera BERSATU akan digerakkan untuk memastikan kemenangan wakil PN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mei lalu, BN mengumumkan akan meletakkan calon bagi mempertahan kerusi DUN Chini, manakala PAS pula akan membantu calon BN melalui kerjasama Muafakat Nasional.

Pada 6 Jun lalu, Pakatan Harapan (PH) menyatakan tidak meletakkan calon berikutan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengundi, susulan penularan wabak COVID-19.

PRK Chini 4 Julai ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau yang juga calon BN memenangi kerusi berkenaan dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

PRK ini pilihan raya yang pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa bermula 18 Mac ekoran penularan pandemik COVID-19.

Tinggalkan komen anda