Politik Johor: Mazlan nafi jadi ‘kepala’ gerak usaha sertai pembangkang


shadow

 Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang menafikan dakwaan beliau menjadi ‘kepala’ mengetuai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu yang mahu menyertai pakatan pembangkang.

Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu turut menafikan tuduhan ada menuntut RM2 juta dan 50 hektar tanah jika tidak mahu beliau berpaling tadah.

“Pelbagai dakwaan dan andaian tersebar, namun tidak semestinya ia sahih. Saya sendiri didakwa menjadi ‘kepala’ kepada tindakan ADUN yang mahu melompat ke blok pembangkang sedangkan hakikatnya tidak benar.

“Saya turut dikatakan menuntut RM2 juta dan 50 hektar tanah jika tidak mahu berpaling tadah. Saya bersumpah bukan orang yang dituduh sebagai ‘kepala’ mahupun menuntut permintaan tidak masuk akal sebegitu.

“Sebagai orang politik, saya memahami hakikat bukan semua akan sokong dan suka kita, jadi saya menganggap khabar angin yang mendakwa saya dengan pelbagai tuduhan itu sebagai asam garam politik sahaja, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Penyampaian Hadiah Hari Guru Negeri Johor 2020 di sini, hari ini.

Untuk rekod, DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini ialah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, BERSATU (11), Parti Amanah Negara (9), PKR (4), MIC (2), PAS (1) dan Bebas (1), menjadikan PN memiliki 29 kerusi berbanding PH dengan 27 kerusi.

Tinggalkan komen anda