Pembantu Anwar nafi Dr M calon pilihan PH Plus


shadow

Dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah bersetuju Dr Mahathir Mohamad menjadi calon perdana menteri manakala Anwar Ibrahim timbalannya adalah tidak benar, kata seorang pembantu presiden PKR itu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menafikan laporan yang disiarkan Free Malaysia Today (FMT) berhubung gandingan Mahathir-Anwar.

Sebaliknya kata pengerusi PKR Perak itu, hal berkenaan masih dalam perbincangan.

Terdahulu FMT mendakwa PH bersetuju mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri bagi mengambil alih kerajaan daripada Perikatan Nasional.

Memetik sumber dalaman PKR yang tidak dinamakan, portal berita itu melaporkan Mahathir akan berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga akhir 2020 sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar.

Persefahaman itu didakwa dicapai melalui perjanjian bertulis.

Persetujuan di antara PH dan kumpulan Mahathir menjadi kebuntuan utama yang menghalang kerjasama mereka dalam usaha merampas semula kerajaan yang ditubuhkan ekoran Langkah Sheraton akhir Feb lalu.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memaklumkan kepada media tengah hari tadi, kepemimpinan PH akan mengeluarkan kenyataan mengenai hal itu lewat hari ini.

Sementara itu Farhash berkata pihaknya tidak akan menerima pencalonan Mahathir.

“Kami menolak cadangan untuk menjadikan Tun (Mahathir) sebagai perdana menteri,” katanya.

Tinggalkan komen anda