Mahathir, lima lain cabar ‘pemecatan’ di mahkamah


shadow

Dr Mahathir Mohamad bersama anggota lima anggota Bersatu yang lain mengheret Perdana Menteri Muhyididn Yassin selaku presiden parti berserta dan tiga yang lain ke mahkamah atas apa yang disifatkan mereka sebagai pemberhentian keahlian secara tidak wajar.

Dalam kenyataan 61 muka surat yang dilihat Malaysiakini, mereka mendakwa Muhyiddin bersama menteri dalam negeri merangkap setiausaha agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bersubahat merampas kuasa dalam Bersatu secara tidak sah.

“(Plaintif-plaintif) mempertikaikan tindakan-tindakan salah dan tidak sah serta perlakuan jahat dan konspirasi untuk melakukan penipuan dan melakukan rampasan kuasa secara haram dan tidak sah di sisi undang-undang terhadap Bersatu dan kepimpinan Bersatu yang dilakukan oleh defendan pertama (Muhyiddin) (dan/atau defendan lain)…” kata mereka.

Antara alasan yang dikemukakan, ialah Muhyiddin dikatakan mengeluarkan kenyataan pada 28 Februari mendakwa dia adalah pemangku pengerusi Bersatu, meskipun Mahathir telah menarik balik peletakan jawatan beliau sebagai pengerusi sehari sebelumnya.

Kata mereka, tindakan Muhyididn itu merupakan “titik permulaan” untuk beliau memperakui dan/atau mengunakan kuasa atau jawatannya sebagai pemangku pengerusi Bersatu secara salah untuk membuat “penstrukturan semula” secara tidak sah bagi jawatan-jawatan dalam Bersatu, termasuk pelucutan keahlian sebahagian ahli.

Mereka meminta mahkamah untuk mengeluarkan deklarasi bahawa mereka masih ahli Bersatu dan masih memegang jawatan mereka dalam Bersatu secara sah.

Mereka juga memohon mahkamah untuk mengeluarkan deklarasi bahawa keahlian Muhyiddin bersama pemimpin Bersatu yang memegang jawatan sebagai menteri atau timbalan menteri, serta yang menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah terlucut.

Tuntutan itu difailkan secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lewat tengah hari tadi oleh peguam Haniff Khatri Abdulla.

Selain Mahathir, lima plaintif lain adalah bekas timbalan presiden, Mukhriz Mahathir, bekas ketua pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas ahli majlis pimpinan tertinggi, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah, dan bekas setiausaha agung Marzuki Yahya.

Selain Muhyiddin dan Hamzah, setiausaha kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya dan Masyati Abang Ibrahim (ketua pengarah RoS) turut dinamakan sebagai defendan.

Pada 28 Mei, Mahathir dan penyokongnya “dihentikan keahlian serta merta” atas alasan duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Pada 4 Jun, MPT Bersatu mengesahkan pemberhentian keahlian Mahathir dan beberapa penyokongnya, serta keputusan parti berkenaan untuk keluar daripada PH, yang menurutnya dimuktamadkan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu.

Sebelum itu, ROS mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi Bersatu pada Februari.

Mahathir dan yang lain turut mendakwa terdapat konflik kepentingan memandangkan ROS terletak di bawah KDN, yang diterajui oleh Hamzah sendiri.

Menurut mereka, Masyati adalah pihak yang sama ada dipergunakan, membantu bersubahat dan/atau berkonspirasi dengan Muhyiddin, Hamzah dan Suhaimi untuk melakukan penipuan atau rampasan kuasa secara haram di sisi undang-undang terhadap Bersatu, kepimpinannya serta ahli-ahlinya yang sah.

Mereka turut menafikan mereka duduk di blok pembangkang pada sidang parlimen 18 Mei lalu.

Kata mereka, Bersatu pada masa itu sudah terbahagi kepada dua puak, yakni yang diterajui Mahathir dan Muhyiddin yang juga perdana menteri Perikatan Nasional.

Kata mereka, kedudukan ahli Parlimen Bersatu yang tidak bersama Perikatan Nasional termasuk Mahathir harus dizahirkan menerusi pengasingan kedudukan kerusi di Dewan Rakyat, namun itu tidak bermakna mereka boleh sama sekali dianggap sebagai tergolong di dalam “pembangkang” di bawah Pakatan Harapan.

Justeru, kata mereka, kedudukan kerusi di Dewan Rakyat itu tidak boleh ditakrifkan sebagai mereka kononnya “mengisytiharkan keluar dari parti” atau “menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain” yang menjadi asas pemberhentian keahlian mereka, berdasarkan perlembagaan Bersatu.

Malah, mereka turut mempertikaikan keabsahan penyertaan Bersatu ke dalam PN memandangkan perkara itu hanya boleh dibuat setelah mendapat kebenaran ahli melalui Mesyuarat Agung Bersatu dan/atau keputusan sah Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Tiada mana-mana keputusan sah MPT yang dibuat antara tempoh 23 Februari 2020 dan 24 Februari 2020 untuk Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan secara sah dan/atau menurut perlembagaan Bersatu,” kata mereka lagi.

Selain itu, mereka turut menuntut ganti rugi dariapda Muhyiddin dan defendan lain.

Tinggalkan komen anda