Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya masih berfungsi seperti biasa.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan, dakwaan kerajaan Kedah tumbang hanyalah isu yang diperbesarkan oleh pihak pembangkang yang tidak senang dengan kedudukan beliau di negeri itu.
“Saya masih di sini, berita ‘kematian saya’ (kerusi Menteri Besar), isu ini hanya dibesar-besarkan,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman sebentar tadi.
Menurut Mukhriz, situasi politik di negeri itu masih terkawal dan beliau masih lagi Menteri Besar Kedah.
“Suasana politik di Kedah ini masih lagi terkawal, saya masih lagi Menteri Besar dan tidak benar wujud dakwaan mana-mana pihak bahawa kerajaan negeri sudah jatuh semalam.
“Ada beberapa proses lagi yang perlu dilaksanakan termasuk melibatkan Sultan Kedah sebelum perkara itu boleh berlaku. Selagi ia belum berlaku, maka kerajaan ini masih beroperasi seperti biasa.
“Itu sebabnya mesyuarat Exco boleh dilangsungkan hari ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan baharu perlu dibawa ke sidang DUN
“Exco telah putuskan bahawa untuk memastikan MB masih punya sokongan majoriti atau tidak, kami ingin syorkan kepada Sultan Kedah bahawa perkara ini melalui sidang DUN.
“Cara itu lebih terbuka dan pembangkang sekiranya berhasrat boleh usulkan undi tidak percaya kepada MB ataupun kerajaan boleh usulkan undi percaya,” katanya lagi.
Semalam, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk daripada Bersatu.
Dua ADUN PKR masing-masing dari Lunas dan Sidam mengumumkan keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada Pas, Bersatu (4), UMNO (2) dan dua bekas ADUN PKR.
Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila Pas kini menguasai 15 kerusi, PKR (5), Amanah (4), Bersatu kem Tan Sri Muhyiddin Yassin (4), Bersatu kem Tun Dr Mahathir Mohamad (2), UMNO (2) dan Bebas (2).
Tinggalkan komen anda