‘Pemecatan’ Muhyiddin hanya boleh dibuat selepas 30 Jun, kata Marzuki


shadow

Masa yang sedikit lama diperlukan kem Dr Mahathir Mohamad untuk memulakan usaha mereka menyingkirkan Muhyiddin Yassin daripada Bersatu.

Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya, berkata tiada pertemuan atau mesyuarat boleh diadakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sehingga 30 Jun ini kerana wujud larangan mengenainya daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Larangan itu dikeluarkan ekoran ancaman wabak Covid-19.

Justreru, kata Marzuki, mesyuarat MPT Bersatu hanya boleh dijalankan selepas tarikh berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, belum ada tarikh yang muktamad ditetapkan untuk pihaknya memanggil mesyuarat MPT Bersatu setakat ini.

“Jadi kita tidak boleh buat sebarang mesyuarat dalam tempoh ini dan saya tak rasa benda ini perlu disegerakan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Untuk rekod, Marzuki merupakan anggota Dewan Negara yang dilantik menjadi setiausaha agung Bersatu sebelum parti itu berdepan krisis dalaman baru-baru ini.

Selepas berlaku perpecahan, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menggantikan Marzuki – yang memilih untuk kekal menyokong Mahathir – dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.

Pun begitu kem Mahathir berpendapat pelantikan Hamzah tidak sah dan masih menganggap Marzuki adalah setiausaha agung yang sah untuk Bersatu.

Marzuki berkata di sebalik larangan mengadakan pertemuan atau mesyuarat oleh ROS beliau hairan bagaimana kumpulan yang menyokong Muhyiddin membuat keputusan melucutkan keanggotaan Mahathir serta empat ahli parlimen lain.

“[…] bagaimana mereka boleh mengadakan mesyuarat untuk melucutkan keahlian Tun M (Mahathir) dan juga empat lagi ahli MPT parti?” katanya.

Mengulas kedudukannya sebagai setiausaha agung Bersatu, Marzuki berkata, beliau kekal dengan jawatan berkenaan walaupun Muhyiddin mengeluarkan surat pemecatan ke atasnya pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, kata Marzuki, pemecatan berkenaan tidak sah kerana ia tidak dipersetujui Mahathir sebagai pengerusi Bersatu.

Untuk rekod mengikut perlembagaan Bersatu, jawatan tertinggi untuk parti itu ialah pengerusi dan sebarang keputusan presiden tertakluk kepada persetujuan penyandang terbabit.

ROS – yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) – baru-baru ini bagaimanapun mengesahkan Muhyiddin adalah pemangku jawatan pengerusi Bersatu.

Tinggalkan komen anda