Mukhriz: Najib protagonis sebenar kejatuhan PH Kedah


shadow

Di sebalik tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan hilang jawatan menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir mendakwa Najib Razak menjadi dalang apa yang berlaku.

Dakwa Mukhriz walaupun arahan untuk menjatuhkannya sebagai menteri besar datang daripada Muhyiddin Yassin, namun di belakang Presiden Bersatu itu ialah Najib.

“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datang daripada presiden Bersatu melalui Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu iaitu Najib Razak.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata membebaskan dirinya daripada pertuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia.

“Lihat saja apa sudah jadi pada kes pengubahan haram pada anak Rosmah Mansor iaitu Riza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu,” kata Mukhriz dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah, hari ini.

Pada 14 Mei lalu mahkamah membuat keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza yang juga penerbit filem Hollywood bergantung kepada pematuhannya terhadap persetujuan yang dicapai bersama pendakwaan untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang didakwa berkaitan degan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, sekiranya Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Gelojoh nak jatuhkan MB

Hal ini dimaklumkan pada salinan kenyataan yang dibacakan oleh Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram, ketika beliau memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenai persetujuan dicapai antara tertuduh dan pihak pendakwaan.

Riza sebelum ini menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB. Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mukhriz berkata, Muhyiddn juga membuka pintu yang luas untuk membawa kepada “pembebasan” pemimpin Umno termasuk Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan dihadapi mereka.

“Kini mereka kembali berkuasa apabila Muhyiddin buka pintu seluas-luasnya kerana mempertahankan kerusi empuk jawatan perdana menteri,” kata Mukhriz.

Dalam pada itu secara sinis, Mukhriz berkata kejatuhannya dan kerajaan PH Kedah adalah hadiah hari jadi paling istimewa buat perdana menteri itu pada 15 Mei lalu.

Katanya, beliau menerima dengan hati terbuka tindakan pihak yang menggulingkannya sebagai menteri besar dan bertekad untuk kekal sebagai pembangkang sehingga habis penggal.

“Gelojoh nak jatuhkan menteri besar Bersatu sebagai hadiah hari jadi kepada perdana menteri, tak ada sekelumit pun ihsan kepada rakyat,” katanya lagi.

Mukhriz berkata prestasi kerajaan PH sepanjang mentadbir Kedah cukup baik dan beliau akan memantau perjalanan kerajaan Kedah yang baru di bawah Perikatan Nasional (PN).

Ditanya wartawan tentang perjalanan politiknya, Mukhriz berkata kariernya banyak turun naik dan tidak mendatar malah lebih banyak jatuh.

Tinggalkan komen anda