Melayu hancur sebab pemimpin penyangak, kata Dr Mahathir


shadow

MELAYU tidak akan hancur kerana DAP, kata Dr Mahathir Mohamad, tetapi akan hancur kerana mengangkat penyangak jadi pemimpin.

Dr Mahathir berkata beliau malu apabila ramai orang Melayu percaya mereka akan hancur kerana DAP sedangkan kaum itu bukannya terlalu lemah sehingga boleh rosak akibat sebuah parti politik.

Dalam satu tulisan di blognya, Dr Mahathir menyenaraikan pelbagai kejayaan orang Melayu dan kerajaan Malaysia yang ditunjangi pemimpin Melayu, sejak melawan Malayan Union sampailah kepada jalan sendiri menangani krisis ekonomi 1997.

“Banyak lagilah peristiwa yang menunjukkan orang Melayu tidak mudah dihancurkan.

“Tetapi orang Melayu boleh hancur. Mereka akan hancur apabila membenarkan penyangak jadi pemimpin.

“Pemimpin seperti ini walaupun Melayu akan hancurkan orang Melayu,” katanya.

Tulisan Dr Mahathir hari ini menghuraikan lagi kenyataannya semalam ketika menjelaskan sebab beliau letak jawatan pengerusi Bersatu dan perdana menteri pada 24 Februari lalu.

Katanya, beliau letak jawatan kerana partinya sendiri melawan nasihatnya supaya tidak keluar dari Pakatan Harapan.

Menurut Dr Mahathir, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga sekarang perdana menteri, menegaskan kepada Bersatu mesti keluar dari Pakatan kerana jika tidak keluar “pada hari itu juga”, orang Melayu akan dihancurkan oleh DAP.

“Saya malu. Amat malu.

“Rupa-rupanya ada orang Melayu yang begitu takut kepada DAP sehingga sanggup mengkhianati rakyat yang beri mandat kepada mereka.

“DAP tidak mungkin hancur Melayu tetapi mereka akan hancur kerana orang Melayu memilih penyangak sebagai pemimpin,” kata Dr Mahathir dalam tulisan di blognya.

Selepas keluar dari Pakatan, Muhyiddin bersama ahli Parlimen Bersatu dan bekas PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali membentuk kerajaan di Putrajaya melalui gabungan bersama Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Gabungan itu dinamakan Perikatan Nasional.

Sejak itu, tiga negeri – Johor, Melaka, dan Perak – beralih pentadbiran diterajui Perikatan. Hari ini, pentadbiran di Kedah juga tumbang selepas dua wakil rakyat PKR keluar parti.

Dr Mahathir tidak setuju dengan langkah politik itu kerana tidak dapat menerima kerjasama dengan pemimpin Umno yang dianggapnya tidak bersih.

Katanya, Umno pada suatu masa dahulu adalah sebuah parti yang yang berjaya memperjuangkan nasib orang Melayu, dengan mengalahkan British, mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara.

“Parti ini tidak pernah kalah. Tetapi pada 9 Mei 2018, parti ini kalah,” katanya, merujuk pilihan raya umum ke-14.

“Kenapa? Kerana parti bertuah ini mendapat penyamun sebagai pemimpin.

“Saya tak payah ulang apa yang pemimpin penyangak ini buat. Dari sebuah negara yang dihormati, negara ini menjadi kleptokrasi – negara yang diperintah oleh pencuri,” katanya.

Umno yang kalah pilihan raya umum 9 Mei 2018 itu kini kembali menganggotai kerajaan dengan beberapa pemimpin kanannya kini dilantik sebagai menteri dalam kabinet Muhyiddin.

Tinggalkan komen anda