Anwar: Azmin angkuh, takbur, anggap dirinya terbaik


shadow

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata ugutan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali terhadap beberapa kerajaan negeri yang enggan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai angkuh dan takbur.

Malah, kata Anwar beliau juga tidak faham dengan tindakan Azmin.

“Ini menteri (kanan ekonomi) ini mewakili apa? Korporat, industri ke apa?

“Apa salah runding? Runding dengan mereka dan kalau mereka minta tangguhkan tak akanlah ada menteri besar atau ketua menteri dia tak peduli masalah pengangguran, masalah pekerjaan. Dia (menteri besar/ketua menteri) fikir masalah kesihatan dan keselamatan.

“Tapi, bila tak setuju macam sekarang ini, lapan negeri tak setuju dengan keputusan persekutuan, ugut. Bukan sahaja ugut, suruh syarikat saman kerajaan (negeri).

“Ini…saya tak faham, ini melambangkan angkuh, sikap takbur, menganggap pandangan dia terbaik sampai tak mahu berunding dengan negeri-negeri.

“Padahal kita ada bidang kuasa masing-masing. Sepatutnya panggillah, ini masalah negara, masalah Covid-19, masalah penangguran, nak menjana pertumbuhan ekonomi. Bukan orang tak reti, orang tahu. Tak kerja kena bagi pekerjaan,” kata presiden PKR itu dalam sesi siaran langsung di Facebook hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan Azmin bahawa kerajaan negeri kemungkinan berdepan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak industri jika ekonomi tidak dibuka semula di bawah PKPB.

Semalam, Azmin selaku menteri kanan ekonomi berkata keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang.

Katanya, jika kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

Sebelum ini, dilaporkan, enam negeri tidak akan membuka semula sektor ekonomi masing-masing pada 4 Mei dan akan meneruskan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Negeri-negeri berkenaan adalah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Port Dickson itu berkata Azmin sepatutnya perlu berunding dengan negeri-negeri yang menolak PKPB dan bukannya menyuruh syarikat mengenakan saman terhadap kerajaan negeri.

“Negeri-negeri dalam sistem Persekutuan kita ada kuasa. Menteri besar, ketua menteri nak buat beberapa langkah kerana ada kuasa di majlis perbandaran, ada kuasa dalam kerajaan negeri,” katanya.

Tambah Anwar, tindakan Azmin mengingatkan beliau kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

“Negara Thailand lebih teratur, menekankan pelaksaan peringkat-peringkat daripada kita buat begitu kemudian minta pula industri saman pulak kerajaan negeri.

“Jadi, ini mengingatkan saya tentang cara presiden Trump. Saya ingat ini mungkin belajar dari Trump ni, kerana presiden Trump ini dia ugut siapa yang tak mahu ikut dia, dia ambil tindakan. Suruh saman gabenor. Janganlah ikut Donald Trump.

“Bincang elok-elok cari penyelesaian yang baik,” katanya.

Tinggalkan komen anda