Adakah Najib, Rosmah, Zahid akan lepas jika bayar penyelesaian, soal Armada


shadow

Pemuda Bersatu (Armada) melontarkan pertanyaan sekiranya kerajaan akan melepaskan individu lain dalam kes rasuah berprofil tinggi yang sedang dibicarakan mahkamah jika mereka membayar wang penyelesaian.

Ini selepas anak tiri Najib Razak, Riza Aziz memfailkan beberapa representasi yang menyebabkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) daripada pertuduhan yang dihadapinya.

“Adakah tindakan ini merupakan gambaran kepada nasib kes-kes perompak lain seperti Najib Razak, Rosmah Mansor, Azeez Rahim dan Zahid Hamidi, di mana jika mereka berjaya membayar sekian jumlah, mereka dibebaskan tanpa sebarang hukuman yang dilihat sebagai wajar?” Soal Armada.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi kumpulan media WhatsApp Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq yang berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad, mempersoalkan kenapa Riza dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan (DNAA) dengan membayar penyelesaian.

Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan (gambar, bawah) sebelum ini membidas bekas perdana menteri itu, berkata Mahathir seharusnya tidak bersikap hipokrit mengenai hal berkenaan.

“Armada berpendapat kenyataan Takiyuddin bahawa perkara ini adalah Tindakan mengikut undangundang adalah sangat tidak murni terutama sekali apabila rakyat mula membandingkan dengan kes-kes kecurian lain.

“Kes seperti curi sardin dan tin milo dikenakan tindakan penjara tetapi perompak berbilion duit rakyat Malaysia dilepaskan tanpa sebarang hukuman penjara hanya dengan mengembalikan sekitar 40 peratus jumlah asal yang dituntut Kerajaan Malaysia.

“Armada ingin menteri yang dilihat bertanggungjawab dalam hal undang-undang untuk menerangkan menggunakan prinsip perundangan dan tidak terlalu mempertahankan diri apabila soalan itu bukan hanya datang dari Dr Mahathir Mohamad tetapi juga dari jutaan rakyat Malaysia,” kata Pemuda Bersatu lagi.

Pihak Riza mencapai persetujuan dengan pendakwaan dalam lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).Dalam persetujuan itu, Riza dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta)

Jika Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Tinggalkan komen anda