Kaji Dulu Sebelum Kutuk: Teresa Kok


shadow

Bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok menolak artikel bertajuk “Apakah Buluh PAS dan DAP sama?” ditulis oleh Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin yang disiarkan dalam HarakahDaily semalam.

Beliau ingin membetulkan artikel terbabit yang dikatakan membangkitkan perkara yang salah.

Menurut Teresa, mengenai Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia yang dirangka oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) adalah bagi tempoh 2011 hingga 2020, dan bukannya dirangka pada tahun 2016 seperti disebut oleh Bakri.

“Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2011 hingga 2020 memang dirangka sebelum Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, tetapi pelan ini tidak dilaksanakan dengan serius.

“Oleh sebab itu, nilai eksport buluh pada tahun 2019 adalah sebanyak RM9 juta sahaja, sedangkan saiz pasaran bagi buluh global ialah AS$ 68 billion pada tahun 2018, seperti apa yang dinyatakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sendiri.

“Semasa memegang jawatan menteri di Kementerian Industri Utama itu apabila diberitahu oleh Pegawai Lembaga Perindustrian Malaysia (MTIB) Pelan berkenaan, dia pun mula giat mempromosi penanaman buluh sebagai tanaman baharu bagi negara kita, termasuk membawa pegawai MTIB untuk memberi pembentangan kepada beberapa Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan beberapa negeri,” katanya di dalam laman sosial Facebook.

Malah, beliau juga berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM6 juta dalam bajet 2020 untuk menubuhkan nurseri benih buluh.

Demi mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang dikritik kerana meneruskan idea PH dalam penanaman buluh, Bakri sanggup memutarbelit fakta.

Dalam artikel tersebut, Bakri berkata, MTIB sudah merangka pelan tindakan untuk memajukan industri berasaskan buluh pada 2016 lagi, iaitu dua tahun sebelum PH menjadi kerajaan.

“Oleh sebab itu berani saya katakan ini bukan ‘brain child’ atau idea dari Teressa Kok dan juga bukan dari YBM Dr Khairuddin (Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali- Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi).

“Tetapi yang hebatnya Dr Khairuddin berani menjadikan program memajukan industri berasaskan buluh sebagai ‘game changer’ di bawah MTIB dan bukannya di bawah MPOB (Malaysian Palm Oil Board),” tulisnya di HarakahDaily.

Jelas Teresa, artikel Bakri yang menyatakan Khairuddin ‘berani menjadikan program memajukan industri berasaskan buluh sebagai “game changer” di bawah MTIB’ adalah tidak tepat kerana Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh telah bermula pada tahun 2011 dan hanya meneruskan dasar yang lama di bawah MTIB sahaja.

“Saya tidak pernah menyaran para penanam sawit untuk “lupakan sawit, tanam buluh”. Ini adalah tajuk laporan yang sengaja diputar-belitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada waktu itu.

Bakri juga menyentuh kenyataan Teresa ‘boleh menoreh di musim tengkujuh’ dan ‘kempen minum satu sudu minyak sawit setiap hari’.

Beliau berkata, “minum satu sudu minyak sawit setiap hari” adalah kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau melancarkan Kempen Sayangi Sawitku pada 24 Mac 2019. Ia sengaja diputar-belitkan oleh penyokong UMNO & PAS untuk menghina Kempen Sayangi Sawitku yang dimulakan oleh saya.

“Selain daripada itu juga, “menoreh getah dalam musim hujan” adalah kenyataan Lembaga Getah Malaysia (LGM) kerana LGM memang telah berjaya mengeluarkan alat yang membolehkan penorehan getah dijalankan pada musim hujan. Alat-alat seperti ini juga digunakan oleh penoreh getah di Negeri Thai dan di Hainan, China. Saya suka mencadangkan agar Haji Bakri mengunjungi LGM untuk mendapat taklimat berkenaan rekaan ini daripada penyelidik dan Ketua Pengarah LGM,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara sebab utama Khairuddin menghadapi kritikan dan ejekan daripada orang ramai adalah kerana beliau pernah membuat kenyataan pada Mac tahun lepas 2019 yang tidak betul, yang menghina usahanya selaku menteri pada masa itu untuk mempromosi penanaman buluh berdasarkan laporan yang salah yang disiarkan dalam Utusan Malaysia.

“Ironinya ketika ini, YB. Dr Khairuddin jelas kuat mempromosi penanaman buluh,” katanya.

Justeru, tambahnya, sebagai seorang ustaz dan pemimpin PAS haruslah bercakap dan menulis perkara yang benar, dan bukan memutar-belitkan fakta mengikut kepentingan diri kerana Islam telah mengajar kita bahawa “fitnah adalah lebih buruk daripada membunuh.

Beliau meminta HarakahDaily bersedia bagi menyiarkan kenyataannya bagi membetulkan fakta yang salah dalam artikel Bakri Jamaluddin supaya dilihat sebagai media yang menjunjung fakta sekaligus mempunyai kredibiliti. Sekiranya tidak, HarakahDaily juga tidak lebih daripada sebuah portal penyambung fitnah.

Bukankah perkara sebegini perlu dikaji dahulu sebelum menulis walaupun ingin mempertahankan “sahabat” tapi perlulah memikirkan nama parti, jika tidak buruk jadinya, bak kata pepatah, kerana setitik nila, habis susu sebelanga.

Tinggalkan komen anda