‘PKR kekal berprinsip, kalangan keluar parti khianat perjuangan’


shadow

Kira-kira seminggu setelah keruntuhan kerajaan PH, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata kalangan yang meninggalkan parti itu telah mengkhianati perjuangan mereka, termasuk untuk menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Anwar menegaskan PKR memilih untuk kekal berprinsip walaupun ada peluang untuk bersama-sama dengan apa yang menurutnya sebagai “kelompok lama yang telah merosakkan negara”.

“Izinkan saya jelaskan bahwa kita telah mengambil jalan yang tegas mengikut landasan perjuangan kita.

“Kita diberi peluang untuk bersekongkol dengan kelompok lama yang telah merosakkan negara kita. Kita memilih untuk kekal dengan prinsip. Yang meninggalkan kita, mengkhianati amanah perjuangan kita,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Malaysia menyaksikan pergolakan politik yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Feb lalu.

Ia selepas Bersatu, salah satu parti komponen PH pada masa itu, bertindak keluar daripada gabungan itu.

Langkah itu disusuli tindakan keluar parti oleh timbalan presiden PKR Azmin Ali bersama-sama 10 anggota parlimen.

Kemelut berlarutan selama kira-kira seminggu sehinggalah Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru pada 29 Feb. Beliau mengangkat sumpah sehari kemudian.

Ia selepas Muhyiddin mendapat sokongan anggota parlimen Bersatu, Umno, PAS, kem Azmin dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam rakaman video itu, Anwar berkata PKR kekal dengan perjuangan untuk menolak rasuah dan salah guna kuasa.

“Kedua, prinsip Islam dan Melayu tidak dipertikaikan, menjadi asas negara kita. Kita adalah negara yang pelbagai kaum dan agama, dan mesti merangkul semua kaum dan agama.

“Ketiga, ekonomi kita tidak harus menghalalkan rompakan oleh segelintir penguasa, tetapi untuk memastikannya dipacu dengan lebih maju dan meyakinkan, tetapi menjamin pengagihan yang adil dan saksama,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda