Mukhriz, Syed Saddiq sedia dikenakan tindakan


shadow

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedia dikenakan tindakan oleh parti itu susulan pendirian yang diambil mereka mengenai calon perdana menteri.

Tegas Mukhriz, beliau sedia dipecat daripada parti.

“Itu satu risiko yang kami terpaksa hadapi. Kami masih berjawatan dalam parti termasuk Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti akan beri penerangan kepada ahli parti kami sampai ke peringkat akar umbi untuk menerangkan dan menjelaskan apa yang berlaku.

“Keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan majlis tertinggi parti tidak langsung memihak kepada Muhyiddin,” katanya kepada media selepas menghadiri perjumpaan bersama ketua-ketua Bahagian dan ketua-ketua Sayap Bersatu di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum ini juga telah sebulat suara membuat keputusan untuk meminta Dr Mahathir menarik balik keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai pengerusi.

Mukhriz berkata MPT parti sebelum ini secara jelas telah membuat keputusan bahawa calon perdana menteri hanyalah Dr Mahathir.

“Tidak pernah ada satu keputusan dari MPT menyatakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Katanya, MPT sebelum ini juga telah sebulat suara membuat keputusan untuk minta Dr Mahathir menarik balik keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai pengerusi.

“Jadi itupun satu ketetapan daripada MPT. Tidak benar sama sekali mana-mana kenyataan bahawa beliau tidak lagi pengerusi parti,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq berkata beliau menyertai Bersatu bagi membersihkan politik dan menentang pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut beliau, pemimpin muda harus berani kerana benar dan sesekali tidak akan bersetuju bekerjasama dengan UMNO.

“Saya beri pendirian ini dan tidak ingin bersekongkol dengan pemimpin rasuah dan tindakan diambil ke atas saya biarlah kerana percaya dan berpendirian teguh dengan pendirian berani kerana benar,” katanya lagi.

Terdahulu perjumpaan itu dihadiri oleh Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dan Anggota MPT A Kadir Jasin.

Perjumpaan yang bermula pada lima petang itu dihadiri lebih 200 ahli Bersatu daripada ketua-ketua Bahagian dan ketua-ketua Sayap parti itu selain beberapa pemuda Amanah.

Bernama

Tinggalkan komen anda