Bersatu Kelantan sedia kerjasama dengan kerajaan PAS


shadow

Bersatu Kelantan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri yang kini ditadbir PAS, kata pengerusinya, Kamarudin Md Nor.

Berdasarkan situasi semasa, kata Kamarudin, Bersatu Kelantan akan menyelaraskan kerjasama secara terbuka mengikut keputusan yang dibuat di peringkat pusat.

“Ya, kita bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Kelantan selepas perkara itu diselaraskan di peringkat pusat.

“Cuma kita tunggu keputusan lebih lanjut oleh pimpinan tertinggi (Bersatu) bagaimana bentuk kerjasama yang boleh dibentuk dan kita bersikap terbuka,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, ekoran pergolakan politik yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Kerjasama sebahagian besar ahli parlimen Bersatu – yang diketuai Muhyiddin – dengan Umno dan PAS pula menyaksikan wujudnya Perikatan Nasional sebagai kerajaan.

Kamarudin berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur atas perlantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

“Dengan pelantikan itu maka selesailah soal mencari pengganti Dr Mahathir, kita sukacita kerana perdana menteri ini juga daripada parti Bersatu.

“Pastinya kita menghargai dan berterima kasih kepada Dr Mahathir yang banyak berjasa kepada parti dan negara,” katanya.

Tinggalkan komen anda