Tun M hadir mesyuarat BERSATU Langkawi


shadow

LANGKAWI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan mesyuarat tertutup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Langkawi yang berlangsung di sini, malam ini.

Mesyuarat itu dihadiri 70 ahli, membabitkan ketua-ketua cawangan, Ahli Jawatankuasa, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Srikandi BERSATU Langkawi.

Dr Mahathir yang juga Ketua BERSATU Bahagian Langkawi yang tiba di Ombak Villa kira-kira jam 9 malam, diiringi Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Difahamkan, pertemuan hampir dua jam itu adalah bagi membincangkan proses pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada 22 Mac depan.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU dimaklumkan turut menyampaikan amanat dan nasihat kepada calon yang bertanding pada pemilihan berkenaan.

Pemilihan BERSATU Bahagian Langkawi menyaksikan Dr Mahathir menang tanpa bertanding, manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Perdana Menteri dijadual melakukan pelepasan peserta perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat akhir esok, dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Tinggalkan komen anda