Syed Saddiq berontak: Saya takkan kerja dengan perasuah


shadow

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman memberontak terhadap keputusan partinya Bersatu untuk membentuk kerajaan baru bersama Umno.

“Saya jadi ahli politik kerana di masa itu, negara saya dihina, dikeji dan dimalukan dengan salah laku dan rasuah di mata dunia.

“Saya percaya rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah negara yang lebih baik. Negara yang bebas rasuah, dihormati dan bermaruah.

“Saya ingin tegaskan satu perkara, saya tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan golongan perasuah, jauh sekali untuk mendirikan kerajaan bersama dengan mereka,” katanya dalam video yang dimuat naik di Twitter pagi ini.

Meskipun Bersatu mendakwa bahawa semua 36 anggota parlimennya – termasuklah sekumpulan bekas ahli PKR- kini menyokong presiden parti Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru, masih ada perpecahan dilihat dalam parti.

Sebahagian anggota parlimen masih menyokong pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang bertegas parti itu tidak patut bekerjasama dengan Umno, memandangkan beberapa pemimpinnya kini berdepan perbicaraan kes rasuah yang besar.

Syed Saddiq mengaku pendiriannya itu mungkin tidak disenangi oleh sebahagian pihak, namun tegasnya, dia tidak berganjak.

“Ini bukan lagi soal parti atau majoriti, ini soal identiti dan integriti.

“Saya faham pendirian saya tidak akan disenangi oleh segelintir ahli politik. Tetapi ahli politik datang dan pergi. Rakyat Malaysia adalah tuan sebenar negara ini.

“Biar mati bermaruah, jangan hidup dijajah,” katanya. 

Tinggalkan komen anda