PH tumbang lepas istana Johor temu duga 54 dari 56 Adun


shadow

Istana Johor hari ini mengumumkan sebuah gabungan baru akan mengambil alih kerajaan negeri.

Kenyataan itu menyebut, langkah tersebut diambil selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemu bual 54 daripada 56 Adun Johor semalam dan menandatangani akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong PH atau gabungan baru.

Kata Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah, Sultan Ibrahim berpuas hati gabungan baru itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila 28 Adun memilih gabungan baru berbanding 26 PH.

“Oleh yang demikian gabungan baru berhak memberikan cadangan nama calon menteri besar sebelum susunan barisan exco baru dilantik,” katanya.

Dua Adun yang tidak hadir dalam temu duga tersebut ialah Adun Jeram dari Amanah, Salahuddin Ayub, dan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang.

Sementara itu Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah ketika dihubungi memberitahu beliau tidak dapat hadir semalam kerana mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mazlan pula berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai pihak mana yang ingin disokongnya.

Kata beliau, semalam Sultan Ibrahim berkenan memberikan masa untuk beliau membuat keputusan.

Daripada 28 Adun yang didakwa menyokong gabungan baru itu, seorang daripadanya dipercayai wakil PKR. 

Sebab Salahuddin, Mazlan tak hadir

Kata Jaba, selepas PH hilang majoriti di Johor susulan keluarnya Bersatu dari gabungan itu, Menteri Besar Dr Saharuddin Jamal serta Pengerusi Umno Johor Ir Hasni Mohammad mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam untuk mewujudkan gabungan baru yang mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Sultan Johor bertitah agar sesi temu bual diadakan bersama setiapadun bagi mendengar sokongan mereka semalam, dari jam 3 hingga 5 petang.

“Setiap Adun juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong parti PH atau Gabungan Baharu,” katanya lagi.

Katanya lagi, gabungan baru itu berhak memberi cadangan calon menteri besar.

Bagaimanapun, daripada 56 Adun, hanya 54 yang hadir sesi temu bual berkenaan.

 Adun yang tidak hadir ialah Mazlan Bujang (Bersatu-Puteri Wangsa) dan Salahuddin Ayub (Amanah-Simpang Jeram).

Salahuddin ketika dihubungi menjelaskan ketidakhadirannya semalam adalah disebabkan dia perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mazlan pula sebelum ini mengesahkan dia belum menandatangani SD itu kerana memerlukan masa bagi memantau situasi politik kerajaan pusat sebelum membuat keputusan, dan berkata Sultan Johor memberinya masa untuk membuat pertimbangan.

Katanya, meskipun Bersatu telah keluar dari PH, itu tidak bermakna parti itu menyokong BN.

Pandangan itu sama dengan Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad, yang berkata tidak akan bekerjasama dengan Umno secara en bloc.

Daripada 28 Adun yang menyokong gabungan baru itu, salah seorangnya dipercayai daripada PKR iaitu Adun Pemanis Dr Chong Fat Full.

Dakwaan itu dibuat oleh beberapa sumber daripada PKR.

Pada Selasa lalu, Chong memberitahu Malaysiakini pendiriannya adalah “neutral”, namun hari ini dia mengisytiharkan bahawa dia menyokong PH.

Terdahulu, Hasni memberitahu Malaysiakini bahawa penyertaan daripada PKR telah dipersetujui oleh “bos mereka di KL”, dipercayai merujuk kepada kem Azmin Ali.

DUN Johor menjadi tergantung, iaitu kedua-dua kerajaan dan pembangkang mempunyai 28 adun, selepas Bersatu meninggalkan PH.

Tinggalkan komen anda