Pemuda Amanah: Azmin khianat mandat rakyat, sabotaj Majlis Presiden PH


shadow

Pemuda Amanah mengecam tindakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang menurutnya mensabotaj keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH berhubung peralihan kuasa, pada Jumaat lalu.

Timbalan ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin menyifatkan ia jelas satu pengkhianatan kepada mandat rakyat pada PRU lalu, yang sepatutnya dihormati.

“Tindakan Azmin adalah pengkhianatan mandat rakyat yang jelas apabila beliau mengumpulkan ahli pembangkang daripada UMNO dan PAS untuk meraih sokongan bagi membentuk kerajaan pintu belakang.

“Beliau juga terang-terang mensabotaj PH yang baru saja mencapai kesepakatan (dalam isu peralihan kuasa)…Namun beliau dengan penuh tidak bertanggungjawab telah menyusun untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS,” dakwa Shazni dalam kenyataan, hari ini.

Sepanjang semalam, beberapa pertemuan politik berlaku sebelum wakil enam pihak – kem Azmin dalam PKR, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan Bersatu – bertemu Yang di-Pertuan Agong.

Sejumlah anggota parlimen kemudian berkumpul di Hotel Sheraton Petaling Jaya. Satu sidang media bagi mengumumkan pembentukan kerajaan baru pada mulany dijangka dibuat, tetapi tiada sebarang pengumuman dibuat.

Jika gabungan baru itu diwujudkan, ia kemungkinan besar tidak akan menyertakan DAP, Amanah dan PKR memandangkan ketiga-tiga parti itu dilihat tidak terbabit dengan pergerakan politik yang berlaku semalam.

Dalam pada itu, Shazni berkata Pemuda Amanah akan terus mempertahankan mandat rakyat yang diberikan kepada PH pada PRU lalu.

Beliau juga berkata sebarang usaha membentuk kerajaan baru akan gagal memandangkan PAS tidak diterima oleh penduduk Sabah dan Sarawak.

“Tanpa Warisan dan GPS, perancangan kerajaan pintu belakang ini telah menemui jalan buntu,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda