KUCHING: Selepas mengambil sikap berdiam diri sejak dua hari lalu sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi, Gabungan Parti Sarawak (GPS), hari ini tampil menjelaskan pendirian mereka dalam kemelut politik negara.
Setiausaha Agungnya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata GPS menyokong penuh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menerajui kepimpinan negara.
Beliau berkata, sokongan itu sudah dipersembahkan secara rasmi oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Ahad lalu.
“Perkara sama turut dinyatakan Ketua Menteri (Abang Johari) kepada Tun Dr Mahathir pada pertemuan pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nanta berkata, Abang Johari juga mendapat mandat sebulat suara daripada Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS untuk menetapkan pendirian itu.
“Semua Ahli Parlimen GPS juga memberikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir untuk terus menerajui kepemimpinan Malaysia demi kepentingan negara,” katanya.
Tinggalkan komen anda