BERSATU kekal sokong Dr Mahathir sebagai PM


shadow

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Ketua Penerangan BERSATU, Dr Mohd Radzi Md Jidin, memaklumkan pendirian itu selaras hasil mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU pada Isnin lalu.

“Sejurus selepas mesyuarat itu, (Presiden BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Dewan Rakyat BERSATU untuk menyampaikan keputusan parti, supaya mereka terus memberikan kepercayaan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

”Semua Ahli Dewan Rakyat BERSATU telah menghadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pagi ini untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menggesa semua ahli BERSATU bertenang dan memberikan keyakinan penuh kepada kepemimpinan parti itu untuk menangani kemelut politik ketika ini.

“Kita yakin situasi politik ini akan dapat diselesaikan dengan segera. Insya-Allah parti dan negara kita akan muncul lebih gagah dan bersatu padu di bawah kepemimpinan Dr Mahathir,” katanya.

Tinggalkan komen anda