Azmin, Zuraida minat sertai BERSATU


shadow

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin, menyatakan hasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Selain itu, sembilan lagi Ahli Parlimen PKR dari kumpulan Mohamed Azmin menzahirkan keinginan sama.

Mereka adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Isnin lalu, 11 Ahli Parlimen itu mengisytiharkan keluar PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Sumber memberitahu, mereka bersetuju menjadi sebahagian daripada BERSATU dengan diketuai Mohamed Azmin.

“Saya tak pasti bila mereka akan hantar borang (sertai BERSATU), itu kita serahkan kepada Mohamed Azmin untuk umumkan.

“Ahli Parlimen bukan Bumiputera boleh menyertai BERSATU sebagai ahli bersekutu seperti termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya kepada BH.

Julai tahun lalu, Perhimpunan Agung Khas BERSATU meluluskan hampir semua usul dikemukakan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan BERSATU 2019.

Antara pindaan dipersetujui termasuk mewujudkan keahlian bersekutu dalam kalangan bukan Melayu dan Bumiputera.

Tinggalkan komen anda