Ahli parlimen Bersatu, bekas PKR temui Mahathir


shadow

Jumaat hari ini, bermakna kemelut perebutan kuasa politik ekoran penjajaran kuasa yang cuba dilakukan sejak Ahad lalu memasuki hari keenam.

Semalam perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, berkata hal itu akan cuba diselesaikan di Dewan Rakyat melalui sidang khas pada 2 Mac.

Bermakna, keadaan tidak menentu sekarang akan berlanjutan sekurang-kurangnya untuk empat hari lagi.

Malaysiakini sekali lagi membawa secara langsung perkembangan ini.Iklan

LANGSUNG

10 pagi: Beberapa ahli parlimen tiba di bangunan Yayasan Albukhary di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Antaranya Muhyiddin Yassin (Pagoh), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Ronald Kiandee (Beluran), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Rina Harun (Titiwangsa), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan senator Marzuki Yahya (Setiausaha Agung Bersatu).

Mereka dijadual bertemu Dr Mahathir Mohamad yang tiba di situ lebih awal menaiki Mercedes Benz biru tua kira-kira jam 9.10 pagi.

Selain ahli parlimen Bersatu, beberapa bekas pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu – dan mencetuskan kejatuhan kerajaan PH – juga kelihatan.

Antaranya Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak) dan Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat).


9.50 pagi: Dua bekas ketua polis negara – Hanif Omar dan Musa Hassan – serta Yang Dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang, memasuki Istana Negara melalui Pintu 3.

Difahamkan mereka menghantar memorandum berkaitan krisis politik semasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apa kandungan memorandum tersebut.

Hanif berkata, beliau akan menjelaskan hal itu selepas mengadap Agong.

Terdahulu, ada beberapa orang berbaju putih tiba dan memasuki pintu sama kira-kira jam 9 pagi.

Seorang daripada mereka ialah bekas penyelidik PKR Muhammed Yusoff Rawthera.


9.40 pagi: Seorang anggota Dewan Negara memuat naik semula kenyataan mengenai dibuat Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim di media sosial kira-kira dua tahun lalu.

Kenyataan yang dikepilkan Yusmadi Yusoff di Twitter itu ialah penghargaan perdana menteri interim kepada keluarga Anwar.

Untuk rekod, ketika itu Mahathir dalam peringkat awal untuk berbaik-baik semula dengan Anwar – yang masih dalam penjara – ketika pembangkang berusaha keras mahu mengalahkan BN dalam PRU ke-14.

“Kawan-kawan, tolong bantu saya untuk memahami kenyataan ini,” ciap Yusmadi.

Kenyataan yang dirujuk Yusmadi itu ialah kata-kata Mahathir di Facebook, bertarikh 7 Jan 2018: Saya terhutang budi dan berterima kasih kepada keluarga Anwar kerana sanggup membelakangkan apa yang berlaku pada masa lalu, untuk menyelamatkan Malaysia. Perjuangan rakyat fokus kami berdua.”


9.20 pagi: Semua indeks Bursa Malaysia menunjukkan kejatuhan semasa dibuka hari ini kesan tekanan daripada aktiviti penjualan di sebalik pengumumkan pakej rangsangan ekonomi oleh Dr Mahathir Mohamad semalam.

Bernama melaporkan setakat 9.08 pagi hari ini, indkes utama Bursa Malaysia turun 1.26 peratus atau 19.08 mata kepada 1,486 selepas dibuka pada paras 20.69 mata jam 9 pagi.

Secara umum 499 kaunter mencatatkan rugi berbanding 54 untung. Sebanyak 140 lagi tidak berubah dan 65 digantung. 


9 pagi: Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mengutuk pihak yang merancang menjatuhkan kerajaan PH kerana ia dibuat ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Katanya pihak terbabit sangat tidak bertanggungjawab.

“Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Ghebreyesus memberi amaran bahawa wabak koronavirus mencapai titik kritikal dan mempunyai potensi menjadi wabak meluas ketika seluruh dunia bergelut untuk mencegah penyebarannya,” kata Lim.

Veteran DAP itu menambah krisis politik “palsu” sekarang mesti diselesaikan secepat mungkin dan pihak yang terlibat mesti dikutuk semua rakyat.

“Negara tidak boleh dijadikan objek tebusan oleh pemimpin politik tidak bertanggungjawab yang sanggup merisikokan negara hanya untuk mencapai keinginan dalam permainan mereka,” katanya yang turut menggesa kerajaan PH dikembalikan sebagai pentadbir.


8.30 pagi: Naib Presiden PKR: Dr A Xavier Jayakumar, mengingatkan Bersatu parti itu mungkin akan mengalami kerugian besar jika pilihan raya mengejut diadakan.

Hal itu kerana, kata Jayakumar, Bersatu kini tidak tersusun dan jika akhirnya parlimen dibubarkan, mereka mungkin berdepan kekalahan besar.

“Apa yang perlu dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad ialah pecat lima anggota kabinet (lama) dan buat pelantik lain dan teruskan seperti biasa,” katanya tanpa menyebut sebarang nama.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu juga mendakwa Mahathir mempunyai peranan dalam kemelut yang berlaku sekarang dan percaya ada usaha sedang dijalankan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan mengetepikan PH.

Sebenarnya, kata Jayakumar, Mahathir boleh saja menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim dengan aman.

“Mengapa beliau mendahului Yang di-Pertuan Agong mengenai pengumuman sidang khas parlimen?” katanya.

Jayakumar juga berharap Agong akhirnya akan membuat keputusan dan akan dipatuhi semua pihak.


8.40 pagi: Ketua Setiausaha Negara melawat beberapa jabatan kerajaan di Putrajaya untuk melihat perjalanan operasi ketika kerajaan belum terbentuk.

Hasil lawatan tersebut Mohd Zuki Ali berpendapat semuanya berjalan dengan lancar apabila kakitangan awam terus menjalankan tugas seperti biasa.

“Minggu yang penuh dengan peristiwa. Namun, penjawat awam terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa.

“Berkesempatan meninjau Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen Putrajaya. Alhamdulillah,” ciapnya.


8.30 pagi: Setiausaha Agung Umno mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong mengadakan temu duga kali kedua untuk menentukan perdana menteri baru untuk negara ini.

Menggunakan ciapan di Twitter, Annuar Musa berkata, langkah itu boleh dibuat selepas sesi pertama pada Selasa dan Rabu lalu gagal menemukan calon yang mendapat sokongan jelas daripada ahli parlimen.

Bagaimanapun Annuar berpendapat pilihan terbaik ialah membubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya umum dilakukan.


8 pagi: Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad mengecam Azmin Ali kerana dilihat cuba mengambil kesempatan menaikkan namanya dengan pengumuman pakej rangsangan ekonomi diumum Mahathir Mohamad semalam.

“Awak yang merosakkan suasana pelaburan dan ekonomi serta politik negara melalui ‘langkah si kitol’! Lepas tu nak curi credit untuk kerja keras (Lim) Guan Eng? Amat sangat memalukan! Have you no shame!

“Awak ingat rakyat akan keliru dengan kenyataan ini? Anggap awak ambil berat? No way!” ciapnya di Twitter.

Hal sama turut dibangkitkan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.

“Semasa anda berkomplot utk menjatuhkan Kerajaan PH, pegawai Kementerian Kewangan dan pegawai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sedang bekerja untuk menyediakan pakej stimulus ini… #NoShame,” ciapnya.

Bagaimanapun pembantu Azmin, Woon King Chai, tampil membela ahli parlimen Gombak itu.

Kata Woon, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (yang diketuai Azmin sebelum ini) juga bekerja keras untuk memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pakej tersebut.


7.30 pagi: Antara peristiwa yang menjadi perhatian hari ini ialah persidangan khas Majlis Raja-raja di Istana Negara.

Mahathir pula dijadual bertemu dengan pemimpin partinya pagi ini sehari selepas beliau membuat pusingan U dengan menerima kembali jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Tinggalkan komen anda