3 bekas pemimpin Umno T’ganu tandingi ketua Bahagian Bersatu


shadow

Tiga bekas pemimpin Umno Terengganu bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian dalam pemilihan Bersatu yang akan berlangsung Sabtu depan.

Mereka ialah Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, bekas ketua bahagian Umno Dungun, Rosli Mat Hassan dan Anggota Dewan Undangan negeri (Adun) Batu Rakit yang juga bekas exco negeri Khazan Che Mat.

Rosol yang juga bekas Setiausaha Umno Terengganu dilaporkan Berita Harian akan menentang Mohd Laisani Dollah dan Zamani Mamat pada pertandingan tiga penjuru ketua Bahagian Bersatu Hulu Terengganu.

Khazan pula menentang Mohd Jamal Mohd Ali pada pertandingan satu lawan satu di bahagian Kuala Nerus, manakala Rosli pula menawarkan diri bertanding Ketua Bersatu Dungun dalam pertandingan tiga penjuru.

Rosli dicabar dua lagi calon iaitu Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Mohd Zaid Sulaiman dan Abdul Aziz Ismail.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu negeri, Aziz Awang memaklumkan seramai 416 calon daripada 446 yang menyerahkan borang layak bertanding

“Hanya 30 calon tidak layak bertanding selepas proses saringan dilakukan Jawatankuasa Pemilihan Parti Pusat (JPPP).

“Punca utama calon ditolak disebabkan tidak menyertakan dokumen lengkap ketika menghantar borang pencalonan selain keahlian tidak cukup tempoh 12 bulan, ” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Aziz mengumumkan senarai calon yang layak bertanding selepas proses saringan di Ibu Pejabat Bersatu negeri, Kuala Terengganu, har ini.

Tambahnya, sebanyak 156 cawangan Bersatu di seluruh negeri membabitkan seramai 14,000 ahli parti layak untuk mengundi.

Tinggalkan komen anda