Johor cadang guna borang nikah tulisan Jawi sepenuhnya


shadow

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bercadang memperkenalkan semua borang termasuk urusan pernikahan dalam tulisan Jawi sepenuhnya.

Ia selepas dua agensi agama Islam negeri itu melaksanakan penggunaan tulisan Jawi sepenuhnya dalam urusan rasmi dan surat-menyurat berkaitan agama, sejak 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata pelaksanaan tulisan Jawi sepenuhnya termasuk pada borang itu bukan sahaja bagi memperkasakan semula tulisan itu, malah bagi memastikan khazanah negara tidak luput.

Katanya, sejak 1 Januari lalu semua urusan rasmi termasuk surat-menyurat, minit mesyuarat, memo dalaman mahu pun majlis rasmi membabitkan agama Islam menggunakan tulisan Jawi sepenuhnya termasuk pada risalah, poster, kain pemidang dan latar belakang.

“Kami bercadang memperkenalkan borang pelbagai urusan JAINJ dan MAINJ pula dalam tulisan Jawi sepenuhnya selepas ini termasuk urusan nikah kahwin, bantuan zakat dan Baitulmal, selain sekolah agama.

“Alhamdulilah, inisiatif tulisan Jawi sepenuhnya dalam urusan rasmi JAINJ dan MAINJ bukan sahaja berjalan lancar malah disambut baik semua pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Diharap penggunaan tulisan Jawi akan terus menyemarakkan khazanah berharga penulisan berkenaan di negeri ini selain akan dicontohi pihak lain,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

September lalu, kerajaan Johor dilaporkan menyokong pelaksanaan penggunaan tulisan Jawi dalam urusan rasmi dan surat-menyurat berkaitan JAINJ bermula 1 Januari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, semua anak syarikat atau apa saja urusan berkaitan JAINJ selepas ini akan menggunakan tulisan Jawi dalam usaha memperkasakan tulisan berkenaan.

“Saya sangat menyokong semua yang di bawah JAINJ atau anak syarikat atau apa saja yang berkaitan JAINJ mesti menggunakan tulisan Jawi,” katanya.

Tinggalkan komen anda