KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berharap 2020, iaitu ‘Tahun Kebudayaan dan Pelancongan’ antara Malaysia dengan China, akan mempertingkatkan hubungan serta persahabatan kedua-dua negara secara signifikan.
Perdana Menteri berkata, hubungan antara kedua-dua negara sudah berakar umbi sejak kurun ke-15 ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka serta Dinasti Ming dan berkembang sejak itu.
Malah, beliau berkata, Malaysia dan China adalah negara pertama di rantau ini menjalinkan hubungan diplomatik atas dasar kepercayaan serta rasa hormat.
“Pada 2018, Perdana Menteri, Li Keqiang, dan saya sendiri berpendapat bahawa itu adalah masa baik untuk meraikan hubungan rapat yang dinikmati kedua-dua negara serta memberi tumpuan kepada pertukaran rakyat dengan rakyat menerusi kebudayaan dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Tahun Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia-China 2020, di sini, malam tadi.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Dr Mahathir berkata, sebagaimana kebudayaan kedua-dua negara itu terikat, begitu juga ekonomi mereka.
“Sebagai rekod, pada 1971, perdagangan dua hala Malaysia-China bernilai AS$159 juta (RM644.32 juta) dan jumlah itu meningkat hampir 700 kali ganda kepada AS$108 bilion (RM437.65 bilion) pada 2018,” katanya.
Perdana Menteri berkata, program bertepatan Tahun Melawat Malaysia 2020 itu menjadikannya lebih bermakna, sambil berkongsi dengan hadirin mengenai aspek kehidupan masyarakat berbilang kaum yang membolehkan negara ini meraikan kewujudan pelbagai budaya.
Dr Mahathir sekali gus menzahirkan ucapan kemakmuran, kesihatan, kekayaan dan kebahagiaan kepada kedua-dua rakyat negara yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina.
“Semoga Tahun Tikus Logam ini melambangkan penegasan semula persahabatan dan kerjasama antara Malaysia-China serta satu langkah permulaan ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Li Keqiang dalam ucapannya disampaikan Naib Menteri Pelancongan dan Kebudayaan China, Zhang Xu, berharap program Tahun Kebudayaan dan Pelancongan berkenaan akan menjadi platform mengembangkan pertukaran budaya serta kerjasama dalam bidang pelancongan.
Selain itu, beliau berkata, ia juga menggalakkan lebih banyak lawatan antara rakyat dengan rakyat.
“Kami berharap dapat meneruskan persahabatan tradisional ini berdasarkan peningkatan persefahaman dan meletakkan asas sosial kukuh bagi perkongsian strategik secara menyeluruh untuk China-Malaysia,” katanya. – BERNAMA
Tinggalkan komen anda