PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan bekalan alternatif sebanyak satu juta tablet vaksin Influenza A kepada klinik swasta, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, jumlah tablet vaksin itu boleh memberi manfaat kepada 100,000 pesakit.
Beliau berkata, tahun lalu, pihaknya menerima stok vaksin sebanyak 600,000 dos.
“Pada 2 Disember lalu, kita menerima lebih 90,000 dos vaksin dan difahamkan pada 21 Januari ini, lebih 60,000 dos vaksin lagi akan diterima.
“Pihak swasta yang mahukannya boleh memohon bekalan alternatif itu dan ia akan mendapat kelulusan khas pada hari sama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2020 kementeriannya, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, buat masa ini, stok bekalan vaksin bagi Influenza A masih mencukupi dalam sektor kerajaan.
“Kita sebelum ini memang ada stok simpanan vaksin berbanding pihak swasta yang tidak menyimpan stok berkenaan.
“Kita ada stok mencukupi. Apabila jadi keadaan seperti sekarang, rakyat memilih untuk mendapatkan vaksin berkenaan di swasta, namun mereka (swasta) tidak menyimpan stok yang banyak.
“Apabila permintaan melebihi bekalan yang ada, itu sebab berlaku kekurangan dan menimbulkan situasi cemas,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, mendakwa klinik swasta berdepan kekurangan kritikal bekalan vaksin untuk pencegahan influenza daripada empat syarikat pembekal utama.
Beliau mendakwa, kekurangan itu berlaku kerana klinik swasta tidak diberi keutamaan untuk mendapatkan bekalan vaksin terbabit berbanding hospital swasta.
Tinggalkan komen anda