Akar umbi mahu peranan besar untuk Mustapa demi Kelantan


shadow

KALANGAN pemimpin akar umbi Pakatan Harapan (PH) di Kelantan berhasrat pemimpin yang berpengaruh dilantik menjadi wakil kerajaan persekutuan bagi membantu memajukan negeri.

Mereka berpendapat, calon paling layak bagi tugas itu adalah Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed, yang juga bekas pengerusi Umno negeri.

Menurut pemimpin ini, pelantikan Mustapa antara lain akan dapat menyelesaikan isu dalaman PH yang didakwa tiada arah tuju.

Antaranya, seorang pemimpin Bersatu bahagian yang mengaitkan prestasi Mustapa sewaktu memimpin Umno menentang PAS di negeri itu.

“Kami rasa Tok Pa paling layak bukan kerana beliau satu-satunya pemimpin PH yang berpengalaman dan menang di kerusi Parlimen dan DUN biarpun dulu dengan tiket Umno.

“Tapi kami percaya dengan pengalamannya, kewibawaaanya dan rakyat, PH negeri akan dapat manfaat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sewaktu Mustapa meneraju Umno negeri, parti itu hanya tewas dengan perbezaan dua kerusi dalam PRU2004 untuk mengambil alih Kelantan.

Pencapaian itu juga disebut-sebut dan dibandingkan dengan pencapaian tahun 2018, sewaktu PH tewas di semua kerusi DUN yang ditandingi di Kelantan.

Dalam pilihan raya itu, PAS kekal mentadbir negeri itu dengan menguasai 37 daripada 45 kerusi DUN. 

Selebihnya, lapan kerusi dikuasai Umno. PAS juga menguasai sembilan kerusi Parlimen dan Umno menang di lima kerusi.

Dan kini, selepas 20 bulan PH menguasai kerajaan persekutuan, parti itu masih tidak mampu menembusi kekuatan PAS di Kelantan, kata pemimpin akar umbi ini.

Satu-satunya wakil kerajaan Kelantan dalam Kabinet adalah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Radzi Jidin yang dilantik menjadi senator selepas tewas di kerusi Ketereh.

Mustapa meninggalkan Umno pada September lalu dan menyertai Bersatu. Ia kemudiannya disusuli penyertaan Ahli Parlimen Tanah Merah Hisham Abdul Aziz.

Susulan penyertaan Mustapa ke dalam Bersatu, timbul desas-desus bahawa bekas menteri Umno tersebut akan menyertai kabinet PH.

Terbaharu, Mustafa dikatakan antara calon paling disebut-sebut mengisi kekosongan jawatan menteri pendidikan selepas pengunduran Maszlee Malik.

Januari lalu, Mustafa sudahpun dilantik sebagai pengerusi  Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), sebuah agensi yang menggalakkan penyertaan ekonomi Bumiputera.

Azmin bukan pemimpin tempatan

Cakap-cakap mengenai peranan Mustapa di Kelantan itu turut dikaitkan dengan prestasi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebagai pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Kelantan.

Sumber Bersatu bahagian berkata, peranan Azmin tidak memberikan impak besar dan pemimpin akar umbi mahu Mustapa menjadi menteri untuk menguatkan peranan itu.

“Faktornya ramai melihat Azmin ini pemimpin luar jadi fokusnya tidak hanya di Kelantan saja. Dan kita pun tidak nampak apa yang dibuat pengerusi ini, pembangunan terlalu perlahan,” katanya.

Tambah sumber, jika ada kemajuan sekalipun, ia hanya projek lama yang diteruskan daripada pentadbiran Barisan Nasional.

Dalam kapasitinya, Azmin mengumumkan lima projek utama untuk Kelantan – termasuk sambungan Lebuh Raya Pantai Timur dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Tiga lagi adalah laluan baharu Pasir Puteh – Machang – Jeli, Lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai dan Jambatan Palekbang – Kota Bharu.

Projek berkenaan sudahpun mendapat teguran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V agar dipercapatkan.

Menurut sumber, Jawatankuasa Portfolio Kementerian PH Negeri Kelantan juga tidak memberikan sebarang fungsi dan impak kerana ia lebih tertumpu kepada agensi.

“Dan inilah melemahkan PH Kelantan, manakala PAS Umno makin kuat.

“Rakyat tak berasa ada keperluan untuk mereka beralih dari PAS menyokong PH. Jadi dengan pelantikan Tok Pa saja boleh menyelamatkan PH,” katanya.

Tentangan penggerak awal Bersatu Kelantan

Bagaimanapun cadangan melantik Mustapa menjadi menteri sebagai wakil PH di Kelantan sebagai usaha merampas negeri itu dari PAS turut mendapat tentangan.

Seorang pemimpin dalam jawatankuasa PH negeri itu berkata, kumpulan penggerak awal Bersatu tidak akan bersetuju dengan cadangan itu.

“Pada mereka Tok Pa ini bekas Umno yang lompat parti kemudian diberikan jawatan besar, berbanding mereka yang melalui kepayahan seawal penubuhan

“Jadi kita faham sentimen mereka.Namun bagi pimpinan akar umbi PH amat berharap peranan itu digalas oleh Tok Pa,” kata pemimpin itu lagi.

Pandangan itu senada dengan Pemuda Bersatu Kelantan Asran Alias yang tidak bersetuju sekiranya bekas pemimpin Umno tersebut mengetuai Kelantan.

Beliau berkata PH Kelantan sepatutnya menonjolkan lebih ramai pemimpin muda dari meletakkan calon lama.

Namun beliau tidak menolak kepentingan melantik wakil menteri dari Kelantan dalam kerajaan pusat.

“Kalau untuk pembangunan Kelantan memang kena ada menteri, tak kisahlah siapa-siapa pun asalkan mereka pemimpin tempatan,” katanya. 

Tinggalkan komen anda