Sila akur perlembagaan parti – Abdullah Sani


shadow

KUALA LUMPUR: Kumpulan atau individu yang cuba menjadi orang tengah mendamaikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihatkan akur dengan perlembagaan parti.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamis, menegaskan isu perdamaian yang cuba dilakukan pihak tertentu itu tiada dalam agenda Kongres Nasional.

“Damai apa? Apa yang damainya? Marilah mesyuarat, kemudian akur dengan perlembagaan (parti). Sebenarnya tiada isu pun dan kenapa nak menyerang dan pertikai peralihan kuasa.

“Saya tidak nampak sebenarnya (apa cuba dilakukan kumpulan berkenaan). Ini ada pula cuba ganggu gugat perjanjian (peralihan kuasa) yang sudah dipersetujui,” katanya kepada BH ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Laporan muka depan BH hari ini melaporkan beberapa pemimpin kanan PKR dikatakan sedang berunding dengan Anwar dan Azmin yang bertelagah supaya parti itu tidak berpecah, menjelang Kongres Nasional yang akan berlangsung di Melaka hujung minggu ini.

Difahamkan antara pemimpin yang dikaitkan dengan rundingan itu adalah Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, R Sivarasa.

BH difahamkan, rundingan itu diadakan selepas kumpulan dikaitkan dengan Azmin merancang mengadakan satu himpunan berasingan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Abdullah Sani turut mendesak pihak yang cuba menganjurkan kongres alternatif di ibu negara hujung minggu ini supaya mengambil keputusan ‘kehormat’ dengan keluar daripada parti.

“Mengenai ada satu lagi kongres oleh satu lagi kumpulan, jadi saya nasihatkan orang itu kalau sampai nak anjur satu kongres lain, tidak mengikut perlembagaan parti, buatlah parti sendiri.

“Tiada sebab mereka nak berpaut lagi kepada PKR sebab tidak hormat perlembagaan (parti). Sila pergi tubuh parti sendiri, buat undang-undang sendiri, buat perlembagaan sendiri supaya boleh rasa lagi kebal,” katanya.

Sementara itu, usaha BH mendapatkan penjelasan lanjut daripada Tian Chua yang didakwa terbabit dalam isu rundingan perdamaian terbabit, tidak berhasil apabila beliau enggan mengulas isu berkenaan.

“Sorry (minta maaf), tiada komen,” katanya sebelum bergegas ke dalam kafeteria Ahli Parlimen.

Seorang lagi Ahli MPP PKR, Datuk Dr Mansor Othman ketika ditemui juga enggan mengulas isu terbabit sebaliknya meminta supaya perkara itu ditanyakan kepada mereka yang lebih ‘pandai’.

“Tak apalah, saya tidak mahu ulas, tanya pada mereka yang pandai,” katanya.

Tinggalkan komen anda