Sabar tapi jangan uji saya, kata Anwar


shadow

Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pengkritiknya dalam parti itu agar jangan menguji kesabarannya sehingga perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba memecahbelahkan parti itu.

Pada konvensyen PKR Perak yang diadakan semalam, Anwar berkata beliau bersabar selama ini kerana berasakan ahli-ahli parti mempunyai hak untuk memberi pandangan mereka.

“Bezanya kita parti keadilan demokrasi, ia bukan parti orang nak cakap sikit pancung, saya tak mahu.

“Jadi orang kata Anwar ni lemah, (Ketua Penerangan PKR) Shamsul Iskandar kata sabar Anwar ni tahap dewa. Sabar, jangan uji saya.Iklan

“Saya sabar sebab saya ingat orang ada hak untuk beri pandangan, tetapi kesabaran itu sampai beri pandangan bahawa parti ni pecah, parti ni lemah, saya tak boleh.

“Sebab selagi saya presiden tanggungjawab saya bina kekuatan parti dan hormat suara akar umbi,” kata beliau.

Anwar bagaimanapun tidak mengulas lanjut apakah tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang memecahbelah dan melemahkan PKR.

Anggota Parlimen Port Dickson itu juga memaklumkan kepada akar umbi bahawa beliau berbual panjang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Hari khamis saya sembang panjang dengan dia, bagi sokongan penuh kepada dia sebagai ketua jangan persulitkan, supaya kita bersatu tak pecah,” katanya.

‘Media dengar baik-baik’

Anwar mengingatkan media yang melaporkan pertelingkahan dalam parti itu menjelang konvensyen PKR pada 7 Dis, bahawa parti itu kekal bersatu.

Menurut Anwar, ketua dan akar umbi semua cabang di Perak menghadiri kongres negeri kecuali seorang ketua cabang, yang tidak dapat hadir kerana ibunya sakit di Temerloh.

“Jadi sibuk media kata ada perpecahan, perpecahan apa? Kita ada satu million ahli, tiga hingga empat orang complaint , biasalah,” katanya.

Beliau menegaskan semua ahli tergolong dalam kem PKR dan berjanji menunjukkan kekuatan PKR sebagai sebuah parti yang bersatu dalam kongres parti yang dijadual di Melaka.

“Sebab kawan-kawan kita termasuk Xavier (Jeyakumar), mereka pesan mari kita tunjuk kekuatan kita. Tak apa orang nak cakap soal negatif, saya tahu saya presiden bukan satu kelompok, saya presiden bagi satu parti

“Dan saya amat mudah memaafkan, telanjang pun maaf, masuk penjara pun maaf, tapi cukup, sekarang ni kita kena bawa mesej yang baru.

“Media dengar baik-baik, apa pun orang cakap, apa jua telahan dilakukan, saudara datang 7 hari bulan, saudara akan lihat kongres parti yang bersatu dan jauh lebih kuat daripada dulu,” katanya.

Tinggalkan komen anda