Muafakat dengan PAS tidak jamin Putrajaya dapat ditawan, kata Mat Hassan


shadow

MUAFAKAT Nasional yang ditandatangani dengan PAS tidak menjamin Umno dapat menawan Putrajaya, kata Mohamad Hassan.

Timbalan Presiden Umno itu mengingatkan para pemimpin dan anggota parti agar mereka bekerja keras dan meyakinkan pengundi bahawa parti itu dapat menawarkan tawaran yang lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang.

Mohamad berkata daripada pemerhatiannya, beliau mendapati terlalu banyak pemimpin dan ahli biasa yang yakin bahawa kerjasama dengan PAS sudah cukup untuk menawan semula kerajaan persekutuan.

“Akhir-akhir ini saya melihat tanda-tanda yang tidak elok dari keyakinan terhadap muafakat nasional ini.

“Kita jadi terlalu yakin, terlalu santai dan tidak mahu melakukan apa-apa lagi seolah-olah kita yakin dapat memenangi pilihan raya.

“Walaupun kita mempunyai pakatan ini, walaupun Umno menjadi parti politik terbesar di negara ini, ia mesti menyesuaikan diri dan terus memperkuat dirinya,” katanya semasa menggulung perbahasan ucapan dasar presiden di perhimpunan agung parti itu di PWTC hari ini.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapan dasarnya membuka perhimpunan tersebut dengan berkata Muafakat Nasional seakan-akan talian hayat kepada rakyat.

Zahid berkata kerjasama itu merupakan pelan politik seimbang yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut Mohamad, semua pilihan raya kecil dimenangi parti itu pada tahun ini adalah pertempuran untuk menguji strategi mereka.

Beliau berkata apa yang akan mereka hadapi pada pilihan raya umum akan berbeza.

Mohamad berkata pilihan raya akan datang boleh menjadi usaha terakhir Umno untuk bangkit semula selepas kekalahan pada PRU14 tahun lalu.

“Sekiranya kita gagal dalam PRU ke-15, lebih baik bagi kita untuk berkemas dan pulang,” katanya.

Adun Rantau itu turut berkata, kehilangan kuasa orang Melayu telah menyebabkan maruah orang Melayu dihina dan dicabar.

“Hari ini, orang Melayu tidak mempunyai maruah, maruah kita dicabar dan kita dihina.”

Beliau berkata demikian ketika menyeru pemimpin dan ahli parti untuk mengukuhkan parti itu dan menghidupkan semula semangat mereka untuk berjuang demi bangsa mereka.

“Penolakan rakyat amat mengejutkan.

“Terserah kita bagaimana untuk kita menerima penolakan itu dan bagaimana kita menilai semula diri kita,” katanya.

Tinggalkan komen anda