Kalau orang Rafizi dipecat pun kami pertahan, kata penyokong Zakaria


shadow

BANTAHAN terhadap pemecatan Zakaria Hamid dibuat untuk mempertahankan anggota Majlis Pimpinan Pusat itu yang dilucut jawatan dan dipecat tanpa diberi peluang membela diri, kata penyokongnya.

Salah seorang daripada 20 anggota MPP yang menyokong Zakaria berkata, ia tidak berkaitan dengan sokongan Zakaria ke atas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Malah mereka akan melakukan perkara sama jika tindakan itu menimpa anggota PKR yang lain, kata anggota MPP ini kepada The Malaysian Insight.

“Bantahan bukan hanya kerana dia kawan kita tetapi atas asas keadilan itu sendiri yang memberi hak untuk keterangan dan mempertahankan diri.

“Kalau Rafizi Ramli kena pun saya pertahankan. Hak itu terpakai menjadi hak semua individu lebih-lebih lagi dalam konteks PKR yang promosi keadilan tunjang kepada perjuangan,” kata ahli MPP itu.

Beliau merupakan antara 20 orang anggota MPP, termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang membantah pemecatan Zakaria.

Kumpulan itu mendakwa pemecatan itu tidak sah dan wujud kepincangan dalam proses membuat keputusan dan kegagalan memenuhi prinsip keadilan.

Kumpulan itu juga mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang kes ke atas individu tersebut yang didakwa melakukan rasuah dalam pemilihan parti 2018.

PKR menangkis tuduhan kumpulan berkenaan dan mendedahkan laporan SPRM kepada parti itu berhubung kegiatan Zakaria dan seorang lagi yang turut dipecat, Ismail Dul Hadi.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata SPRM hanya tersilap menghantar laporan rasuah kepada ibu pejabat parti dan bukan kepada Lembaga Disiplin seperti yang sepatutnya.

SPRM juga tidak menarik balik laporan yang menemui perbuatan rasuah dan salah laku ahli berkenaan, katanya.

Laporan itu menyebut, kes Zakaria yang merupakan bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian itu melibatkan projek kementerian itu.

Zakaria didakwa menawarkan projek bernilai RM20,000 ketika beliau bertanding untuk kerusi MPP dalam pemilihan parti yang lalu.

Siasatan SPRM dibuat susulan aduan oleh setiausaha AMK Syukri Razab pada September yang mendakwa tawaran rasuah itu dibuat ketika Zulkfli dan Ismail bertemu pemimpin cabang di Bera.

Laporan itu juga menyertakan pengakuan Timbalan Pendakwa Raya yang mengesyorkan tindakan diambil terhadap Zakaria.

Pemecatan Zakaria dan Ismail meluaskan lagi jurang konflik dalaman parti reformasi itu, yang terpecah dua di antara kem penyokong Presiden Anwar Ibrahim dan timbalannya Azmin.

Ia menimbulkan kebimbangan di kalangan anggota MPP yang melihat kes tersebut ditangani secara berat sebelah kerana diputuskan tanpa siasatan dalaman.

“Kalau salah mesti lalui proses tersebut tetapi ini tidak. Tiada notis dan surat tunjuk sebab dan terus buat keputusan. Di mana keadilan?” Soal anggota MPP itu.

Seorang lagi anggota MPP mempersoalkan sama ada keputusan pemecatan mendapat sokongan majoriti pemimpin pusat.

“Yang sudah bantah 20 pimpinan dan jumlah pemimpin termasuk lantikan ada 50 orang. Tak dapat majoriti pun.

“Memang ramai yang bantah tidak pergi ke mesyuarat tetapi saya hairan sewaktu notis mesyuarat mereka tidak maklumkan ada usul untuk bincangkan isu Zakaria.

“Kenapa tidak maklum ada usul mahu ambil tindakan pada MPP?” soalnya.

Tinggalkan komen anda