Akmal ucap terima kasih Azmin sudi hadir


shadow

Di tengah-tengah pergeseran konflik dalaman parti yang melibatkan kumpulan presiden PKR dan orang keduanya, Ketua Pemuda PKR (AMK), Akmal Nasir, malam ini berterima kasih terhadap Azmin Ali kerana sudi merasmikan kongres nasional tahunan sayap parti itu.

Ketika menyampaikan ucapannya di MITC di Ayer Keroh, Melaka ahli parlimen Johor Bahru itu berkata perubahan yang berlaku dalam masa 24 jam menjadi bukti penting bahawa mereka mampu untuk mendepani cabaran demi kepentingan bersama.

Perubahan 24 jam itu dipercayai merujuk kepada keputusan dicapai dalam perjumpaan tertinggi parti yang dipengerusikan presiden parti Anwar Ibrahim di bangunan parlimen semalam.

Melalui perjumpaan itu, pimpinan tertinggi mencapai kompromi apabila mengekalkan tradisi memberi ruang kepada timbalan presiden merasmikan kongres sayap parti.

Pergeseran dalaman di antara dua kumpulan itu sebelum ini menyaksikan sebahagian pemimpin AMK menjemput bekas presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjadi perasmi.

Melalui persefahaman yang dicapai semalam, Azmin kekal merasmikan kongres sayap PKR, manakala Dr Wan Azizah menutupnya.

Anak muda dah tak sokong

Antara yang menghadiri pertemuan itu ialah Azmin, Naib Presiden PRK, Zuraida Kamaruddin, Abdul Rashid Hasnon, R Sivarasa, Elizabeth Wong dan Amirudin Shari.

“Semalam sewaktu bersama (mesyuarat khas) Biro Politik (saya) sangat rendah diri dan terharu apabila pimpinan kita, presiden dan timbalan presiden duduk bersama merungkai mencari jalan bagaimana agar dapat bekerjasama dan perkuatkan parti.

“Mungkin dalam beberapa bulan ini pendirian kami sedikit berbeza tapi dalam soal parti dan kongres kita letak semua itu ke tepi dan angkat parti bersama-sama,” ujarnya.

Meskipun, ‘diapit’ kumpulan penyokong kuat kem Azmin, Akmal menegaskan masalah sebenar parti itu bukanlah berlaku di peringkat dalaman namun berlaku di luar parti.

“Lihat baru-baru ini bagaimana PRK (Tanjung Piai) anak-anak muda tidak lagi menunjukkan sokongan kepada kita,” tambahnya.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan pimpinan tertinggi parti semalam, Akmal menjelaskan mereka mencapai kata sepakat untuk memutuskan pimpinan yang akan merasmikan pembukaan dan penutup bagi kongres wanita dan pemuda.

“Perbincangan semalam kita setuju hari ini kita raikan timbalan presiden dan esok pula kita akan raikan Dr Wan Azizah dalam majlis penutup bersama,” katanya sambil tersenyum.

Dalam ucapannya malam ini, Akmal turut menggesa pembabitan semua pihak – sama ada AMK dan Wanita – dalam menelusuri perjalanan mereka sebagai sebuah parti.

Beliau yang menegaskan PKR sebuah parti yang menegakkan semangat reformasi, prinsip berbilang bangsa harus menolak kezaliman dalam amalan politik mereka dan tidak seharusnya mencontohi parti lawan yang sering memainkan isu perkauman dalam perjuangan mereka.

Berpesan kepada perwakilan yang akan terlibat dalam kongres hujung minggu ini, Akmal memberitahu agar mereka menjaga adab ketika kongres dan berhujah sebaiknya.

“Kita bina parti ini dari bawah, bermula dari jalan raya kini kita di Putrajaya.

“Biar selepas kongres apa yang dibincang dan diputuskan menjadi cabaran buat kita semua untuk dibawa pulang ke kawasan masing-masing,” tambahnya.

Beliau yang mengakhiri ucapan dengan berterima kasih kepada Azmin dan mengajak perwakilan serta pimpinan untuk bersatu hati bersama presiden turut menerima sorakan gemuruh daripada para hadirin yang memenuhi dewan persidangan

Tinggalkan komen anda