Kenyataan MB Perak mengenai DAP isu terpencil, kata Muhyiddin


shadow

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin percaya kenyataan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengenai DAP di negeri pimpinannya adalah pandangan yang dibuat berdasarkan pengalaman peribadi dan tidak mencerminkan sikap Pakatan Harapan.

 Awal hari ini, satu klip video keluhan Faizal mengenai dirinya “terkontang-kanting hendak melawan puak-puak DAP” di Perak tular di media sosial, dipercayai dirakamkan semasa kempen pilihan raya kecil di Tanjung Piai.

 Menurut Muhyiddin, DAP adalah rakan penting dalam Pakatan Harapan, termasuk dalam kerajaan negeri di Perak.

“Saya tak ikuti sepenuhnya isu itu, tetapi mungkin itu soal pengalaman peribadi beliau, kerana apa pun beliau menteri besar dan DAP adalah rakan penting di Perak.

“Mungkin sebab dia (Faizal) seorang (Adun) daripada Bersatu tapi kedudukan dia sebagai menteri besar boleh membantu. Itu mungkin pengalaman peribadi beliau,” kata Muhyiddin dalam satu sidang media di Pekan Nanas, Tanjung Piai, hari ini.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Faizal adalah satu-satunya wakil rakyat Bersatu dalam kerajaan PH Perak, dengan DAP menguasai 18 kerusi, Amanah 6 dan PKR 4. Dua wakil rakyat Umno kemudian jadi wakil rakyat Bebas menyokong PH, sebelum seorang daripadanya menyertai Bersatu.

Muhyiddin bagaimanapun memberi jaminan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Faizal berhubung perkara itu.

Beliau juga menegaskan rakaman video yang tular itu adalah isu terpencil dan tidak menjejaskan kempen PH di Tanjung Piai.

Muhyiddin berkata kempen PH berjalan lancar kerana semua komponen parti termasuk DAP membantu dan tiada komponen yang meminggirkan rakan komponen lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 November, 2019.
Muhyiddin berkata kempen PH berjalan lancar kerana semua komponen parti termasuk DAP membantu dan tiada komponen yang meminggirkan rakan komponen lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 November, 2019.

Sementara itu, Faizal dipetik portal berita Free Malaysia Today menafikan ada perselisihan antara beliau dengan DAP di Perak.

Katanya, rakaman video kenyataannya, yang dilihat berbual dengan pengundi di Tanjung Piai, yang tular “diambil di luar konteks”.

Calon PH di Tanjung Piai, Karmaine Sardini turut kelihatan dalam rakaman video itu yang dipercayai dirakam melalui telefon genggam.

Rakaman video itu dimuat naik di akaun Facebook milik penyokong Barisan Nasional dan Umno atas nama Ops Johor.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kempen PH berjalan lancar kerana semua komponen parti termasuk DAP membantu dan tiada komponen yang meminggirkan rakan komponen lain.

“Ini kes terpencil (merujuk rakaman video Faizal). Di Tanjung Piai kita berkempen secara sihat tiada nak singkir dan ketepikam mana-mana pihak. Di Tanjung Piai pemimpin DAP  pun turun berkempen.

“Lim Kit Siang (penasihat DAP) turun, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) akan turun. Ini perjuangan PH bukan perjuangan DAP atau Bersatu,” kata Muhyiddin lagi.

Tangkap layar dari video Faizal Azumu yang tersebar di media sosial baru-baru ini. – Gambar Facebook, 8 November, 2019.
Tangkap layar dari video Faizal Azumu yang tersebar di media sosial baru-baru ini. – Gambar Facebook, 8 November, 2019.

“Saya boleh dapatkan pandangan lebih sedikit daripada beliau (Faizal) sendiri, saya tidak anggap itu hal besar sangat.”

Dalam rakaman video yang tukar hari ini, Faizal mendakwa beliau berseorang cuba mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai. – 8 November, 2019.

Tinggalkan komen anda