Ia tentang keadilan, bukan rekod kehadiran saya, kata Zuraida


shadow

ZURAIDA Kamarudin berkata kenyataannya mempertahankan seorang ahli yang dipecat tidak difahami.

Naib Presiden PKR berkata beliau mempertahankan Zakaria Abd Hamid kerana parti tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Isu yang saya bangkitkan adalah mudah dan jelas, pemecatan tak ikut prosedur. Sama ada saya hadir mesyuarat itu tidak relevan dalam perbincangan mengenai isu ini.

“Kehadiran saya dalam mesyuarat itu tidak sepatutnya memberi ancaman kepada prinsip keadilan terhadap ahli parti,” katanya.

Terdahulu hari ini Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Zuraida Kamaruddin akan tahu mengapa parti memecat seorang ahli jawatankuasa pimpinan pusat semalam jika beliau hadir mesyuarat parti.

Fahmi mengulas kenyataan Zuraida hari ini yang membidas tindakan parti yang disifatkannya sebagai “pilih bulu” memecat Zakaria Abd Hamid iaitu bekas setiausaha Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Zakaria yang juga Ketua Cabang PKR Bera itu bersama seorang lagi ahli PKR dipecat berkuat kuasa semalam atas dakwaan terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

“Dia cakap tentang ‘pilih bulu’. Saya rasa kalau beliau hadir mesyuarat biro politik mingguan dan juga mesyuarat majlis pimpinan pusat semalam, maklumat penuh yang disampaikan kepada kami cukup jelas untuk tindakan diambil (terhadap Zakaria),” kata Fahmi kepada pemberita. 

Beliau sekali lagi menegaskan pemimpin parti hadir masyuarat dan membincangkan perkara, dan bukan mengeluarkan kenyataan di media.

“Jadi saya tegaskan anda dan dengan pimpinan yang lain perlu sentiasa hadir mesyuarat.

“Gunakan ini (mesyuarat parti) untuk bincangkan perkara dan bukan untuk kita keluarkan kenyataan kepada media. Bagi saya itu tidak menyelesaikan masalah dan hanya bantu untuk merumitkan keadaan,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Tinggalkan komen anda