Azmin beritahu jangan lompat parti, kata ahli Parlimen Gerik


shadow

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali beritahu ahli Parlimen Umno yang menyertai pertemuan di kediaman menteri itu pada minggu lepas supaya kekal dalam Barisan Nasional (BN), kata Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman.

“Itu yang sebenarnya terjadi. Saya masih ingat Azmin beritahu kami jangan lompat parti. Boleh tanya Azmin sendiri.

“Kami tak pernah terfikir nak lompat parti. Saya beritahu orang-orang Gerik walaupun ada ada dua kali pertemuan tapi saya tak pernah terfikir keluar parti atau masuk Bersatu,” Hasbullah memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, kekeliaruan mula timbul apabila media membuat spekulasi bahawa ahli Parlimen BN mahu masuk Bersatu.

Setakat ini, seramai 13 ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu sejak pilihan raya umum pada Mei tahun lalu.

“Kami perlu kekal bersama Umno dan saya pun tak ajak Azmin masuk BN, walaupun saya tak pasti kalau ada mengajak. Tetapi tak masuk akal kalau ahli Parlimen kerajaan sertai pembangkang.

“Kami hanya hantar permohonan untuk peruntukan. Kami nak jumpa di Parlimen tetapi ramai sangat.

“Jadi, Azmin minta kami jumpa di kediaman dia,” kata Hasbullah.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas berkata ahli Parlimen Umno kehilangan hala tuju dan meminta nasihat daripada Azmin ketika pertemuan bersama beliau minggu lalu.

“Saya bertanya kepada Azmin apa yang dibincangkan dengan mereka, katanya bahawa ahli Umno telah kehilangan hala tuju.

“(Mereka) tidak tahu apa yang perlu dilakukan, jadi mereka bertanya sama ada mereka harus menyertai parti lain atau tidak.

“Ada juga yang membuat kenyataan bahawa mereka menyokong kepimpinan saya,” kata beliau.

Azmin pula berkata tiada apa yang luar biasa pada pertemuan beliau dengan ahli-ahli Parlimen Umno di kediamannya minggu lepas.

Tinggalkan komen anda