Juruterbang calon BERSATU?


shadow

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka meletakkan juruterbang, Md Fauzi Md Tamaji, sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bulan depan.

Anak kelahiran Kampung Dalam, Pontian, Johor itu adalah juruterbang pesawat komersial yang pernah berkhidmat bersama syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan Air Asia Berhad serta Air Asia X Berhad.

Walaupun belum diputuskan secara rasmi oleh pucuk pimpinan parti, pemilihan beliau dikatakan dibuat berdasarkan pengalamannya dalam politik termasuk pernah menjadi Naib Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara Amerika Syarikat (AS).

Md Fauzi, 50, yang juga ahli biasa BERSATU Bahagian Pontian, adalah bekas Pengerusi Biro Antarabangsa Alumni Kelab UMNO Luar Negara bagi tempoh 2010-2012, 2012-2014 dan 2014-2016.

Pucuk pimpinan BERSATU enggan mengesahkan pemilihan berkenaan walaupun biodata dan maklumat diri juruterbang berkenaan mula tersebar dalam kumpulan sembang WhatsApp BERSATU dan UMNO.

“Saya tidak boleh ulas perkara ini, belum masanya,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai calon BERSATU pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata nama Osman dicadangkan oleh akar umbi, namun parti itu belum memutuskan siap akan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRK 16 November depan.

Osman meletak jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 8 April lalu, yang kemudian diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 13 April.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Md Fauzi yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari University of the Pacific, Stockton, California, AS dan lesen juruterbang dari Akademi Penerbangan Awam Australia, Cessnock, New South Wales, Australia.

Bapanya, Md Tamaji Rabidin, adalah bekas guru Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok dan SK Rambah dalam kawasan Tanjung Piai serta aktif berpolitik dalam UMNO di peringkat cawangan.

Ibunya, Aishah Mohd Sam adalah bekas guru di SK Rimba Terjun dan aktif dalam politik UMNO serta pernah memegang jawatan sebagai Bendahari Wanita UMNO Bahagian Pontian.

Bapa saudara Md Fauzi, Moktaram Rabidin adalah bekas Ahli Parlimen Pontian sekitar 1980-an.

Tinggalkan komen anda