‘Kerjasama PAS-UMNO masih timbulkan sangsi’


shadow

KUALA LUMPUR: Keikhlasan UMNO menjalin kerjasama politik bersama PAS masih menimbulkan kecurigaan dalam kalangan segelintir ahli dan penyokong parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Prof Dr Zainal Abidin Kidam, berkata peristiwa PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978 susulan krisis politik di Kelantan, antara yang memberi kesan kepada kepercayaan kelompok itu terhadap UMNO.ADVERTISING

Akar umbi parti juga, katanya, masih terkesan dengan tindakan pemimpin UMNO memberi layanan buruk kepada pentadbiran PAS di Kelantan dan Terengganu termasuk menafikan hak negeri mendapatkan royalti petroleum.

“Tidak mudah untuk PAS melupakan tindak-tanduk UMNO suatu ketika dulu, tetapi ini adalah keputusan pucuk pimpinan yang dipersetujui di peringkat muktamar.

“Bagaimanapun, saya tidak mendengar wujudnya tentangan daripada ahli dan penyokong PAS dan ini mungkin reaksi kepada langkah berjaga-jaga.

“Kesangsian terhadap keikhlasan UMNO tidak boleh dielak, maka UMNO perlu membuktikan mereka ikhlas dalam penyatuan ini dan perlu menjelaskan kepada rakyat apa yang ingin dibawa jika diberi peluang memerintah semula menerusi gabungan ini,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Sebelum ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan penyokong PAS berhubung usaha parti pembangkang itu memeterai piagam kerjasama dengan UMNO dalam Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September ini.

Timbalan Pengerusi Biro Dakwah AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, dilaporkan berkata protes senyap itu berlaku di hampir seluruh negara berikutan peringkat akar umbi PAS tidak boleh menerima bentuk kerjasama dengan parti yang menjadi lawan sejak 60 tahun lalu.

Ditanya kewajaran pemimpin PAS membuktikan manfaat kerjasama itu kepada akar umbi, Zainal Abidin yang juga bekas calon PAS bagi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Tidak perlu buktikan, ia soal mana yang lebih mudarat, jika tidak mahu UMNO, habis-habis (paling banyak) dapat Terengganu dan Kelantan, mungkin Kedah tapi itu pun tak pasti.

“Selain itu, apa kita dapat. Walaupun tidak akan rugi, PAS tidak akan ke mana kerana realitinya majoriti Melayu Islam masih bersama UMNO. Hujah ini cukup untuk justifikasi tindakan kita menjalinkan kerjasama dengan parti itu,” katanya.

Mengulas idea penyatuan ummah itu, beliau berkata, ia bermula ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis membabitkan pertembungan antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, Ogos tahun lalu.

Zainal Abidin berkata, PAS secara tidak langsung menyatakan sokongan kepada calon BN pada PRK berkenaan apabila parti tidak meletakkan calon.

Bagaimanapun, katanya Lokman tidak mendapat sokongan pengundi PAS secara jitu kerana tiada arahan rasmi daripada pucuk pimpinan parti.

“Kemuncaknya, idea kerjasama diperkukuhkan lagi ketika gerakan menentang cadangan ratifikasi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) Disember 2018.

“Ia memperlihatkan kerjasama agak kukuh untuk menghasilkan bantahan secara besar-besaran dan secara rasminya PAS menjalinkan kerjasama untuk kepentingan Islam dan Melayu,” katanya.

Beliau berkata, peringkat akar umbi juga wajar memahami percaturan politik parti itu kerana PAS tidak akan rugi, sebaliknya mendapat manfaat sepenuhnya.

Katanya, PAS juga bukan lagi sebuah parti lemah seperti yang berlaku pada 1978.

“Saya yakin kelangsungan politik UMNO menerusi kerjasama dengan PAS dan saya lihat penyatuan ummah ini membawa kebaikan kepada UMNO kerana suka atau tidak, PAS akan menonjolkan integriti, menjadi entiti semak dan imbang kepada UMNO.

“Untuk itu, UMNO harus berubah. Kepemimpinan UMNO di semua peringkat daripada cawangan, bahagian dan pusat perlu memperbetulkan semula budaya politik parti itu,” katanya yang menyifatkan penyatuan ummah bakal mengubah persepsi pengundi atas pagar yang menyumbang kepada kemenangan kerusi bagi kedua-dua parti itu.

Zainal Abidin turut mendedahkan imej PAS sedikit tercalar dengan keputusan bekerjasama dengan UMNO sehingga menjadi mangsa kecaman dan kutukan masyarakat.

“PAS kena terima perkara itu, sanggup terima cemuhan daripada tentera siber. Jawapan PAS kepada pihak yang banyak mengkritik keputusan ini ialah ‘so what?,” katanya.

Tinggalkan komen anda