‘Syukur saya dah keluar PAS’, kata Mariah


shadow

“Syukur saya keluar daripada PAS.”

Demikian kata Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud yang meragui sokongan parti lamanya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Bagi, saya PAS makin tidak konsisten. Sokongan mereka kepada Tun M tidak ikhlas,” katanya menjawab soalan Malaysiakini.Iklan

Siti Mariah yang juga Adun Seri Serdang memberitahu bahawa PAS sebenarnya cuba memecahbelahkan Pakatan Harapan, khususnya PKR.

“Saya bukan di mana-mana pihak. Tapi, ia bukan satu rahsia politik di mana Azmin (Ali) tidak sokong Datuk Seri Anwar (Ibrahim). Namun, gabungan PH memberi sokongan kepadanya (Anwar).

“Ini yang cuba dipecahbelahkan oleh PAS yang menyatakan sokongan kepada Tun M sedangkan PAS sendiri pernah melabel Mahathir sebagai nyanyuk ketika beliau diangkat sebagai calon PM sebelum PRU14,” katanya.

“Jadi, kita boleh nampak pendirian PAS yang tidak konsisten dalam soal politik. Dulu mereka tolak Najib. Lepas Najib kalah, sokong Najib pula. Begitu juga dengan Umno. Dulu tolak sekarang sokong. Inilah keadaan PAS. Syukur, saya tidak lagi dalam PAS,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya dan Umno akan bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat PRU14.

Azmin senada dengan kenyataan itu.

Beliau berkata Dr Mahathir perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.-Mkini

Tinggalkan komen anda