Perak hormati proses undang-undang babitkan EXCO – Ahmad Faizal


shadow

IPOH: Kerajaan Perak menghormati proses undang-undang untuk mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, sebagaimana dilaporkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kerajaan negeri menghormati proses itu memandangkan keluhuran undang-undang adalah prinsip asas dalam masyarakat negara ini.

“Pada masa sama, kita juga menghormati prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Saya mendapati prestasi beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak adalah memuaskan dan beliau memberi kerjasama yang baik kepada semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Bagaimanapun, bagi menghormati proses undang-undang, saya nasihatkan beliau bercuti daripada tugas rasmi, termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang membabitkan proses membuat keputusan, sehingga perbicaraan selesai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata beliau juga secara peribadi amat terkejut atas apa yang berlaku dan berharap keluarga Choo Kiong khususnya isteri dan anak-anak bersabar dalam melalui proses perundangan ke atas beliau.

Beliau berkata pihaknya juga berharap keadilan akan ditegakkan kepada semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua penyokong Choo Kiong supaya bertenang dan menghormati proses undang-undang dengan tidak melakukan perkara yang boleh merumitkan lagi keadaan.

“Pada masa sama, saya menggesa orang ramai untuk turut menghormati proses perundangan dengan tidak membuat sebarang spekulasi atau cuba mendahului tugas pihak polis, pendakwa dan hakim dengan menjatuhkan hukuman di media sosial.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya kita menaruh sepenuh keyakinan kepada institusi kehakiman negara dalam menegakkan keadilan dan kebenaran,” katanya.

Ahmad Faizal berkata pihaknya juga memberi jaminan bahawa proses perundangan ke atas Choo Kiong tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Katanya, setakat ini tidak ada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik dan semua barisan EXCO Kerajaan Negeri sedia ada mampu memikul tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama.

Tinggalkan komen anda