Tun M cuba redakan suhu politik


shadow

PETALING JAYA – Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mahu diperalat di sebalik kontroversi video seks di luar tabii mirip seorang Menteri Kabinet dilihat hanya untuk meredakan keadaan politik negara.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, luahan Dr Mahathir itu lebih kepada mahu pimpinan negara untuk kembali fokus dan tanggungjawab utama kepada rakyat.

“Saya percaya bahawa kenyataan itu diberi dalam konteks untuk menenangkan suhu politik yang saban hari dihidangkan dengan tajuk itu. Kita ada tugas dan tanggungjawab lain, kehidupan mesti diteruskan seperti biasa.

“Saya percaya hasratnya untuk mengembalikan semula fokus, tumpuan dan kerja kuat kita kepada tugasan hakiki kenapa kita dipilih oleh rakyat daripada berterusan.

“Ini aspek yang saya anggap sebagai tidak produktif untuk kita bercakap tajuk itu setiap hari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2019 di Pusat Konvensyen Sunway, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam entri terbaru di blognya hari ini bahawa beliau tidak sanggup diperalatkan oleh pihak tertentu menggunakan video seks sejenis untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu.

Menurut Dr Mahathir, video berkenaan jelas untuk tujuan politik dan didalangi oleh pihak tertentu yang berniat jahat dan menggunakan politik kotor.

Saifuddin yang juga mengulangi pendirian PKR bahawa pihaknya menyerahkan skandal video terbabit kepada pihak polis yang sehingga kini masih menjalankan siasatan.

“Pendirian saya sebagai Setiausaha Agung Parti dan pendirian parti adalah pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dan kita pulangkan kepada siasatan pihak polis sehingga ke akhirnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda