Saifuddin: Terserah mahu tandatangani resolusi atau tidak


shadow

PKR akan mengirimkan naskhah resolusi yang dikeluarkan semasa pemukiman Ahad lalu kepada pemimpin parti terbabit yang tidak dapat hadir di Port Dickson.

Tujuan ia dibuat, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, adalah supaya mereka dapat membaca dan meneliti kandungannya.

Selepas itu, kata Saifuddin, terserah kepada mereka sama ada mahu menandatanganinya – sekali gus menyatakan sokongan – atau tidak.

“Mereka diberikan masa untuk membacanya, meneliti kandungannya dan kemudian memilih untuk menandatanganinya atau pun tidak.Iklan

“Pilihan ada pada tangan masing-masing – sama ada mahu setuju atau pun tidak – dengan resolusi itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Saifuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari, bahawa beliau bakal dikenakan tindakan disiplin kerana tidak menandatangani resolusi tersebut.

Pemukinan PKR berlangsung selama tiga hari mulai 19 Julai di Port Dickson. Ia dihadiri lebih 100 pemimpin pelbagai peringkat parti berkenaan, selain anggota Dewan Rakyat dan dewan undangan negeri.

Tak sampai ke situ

Pada hari terakhir pemukinan PKR mengeluarkan resolusi menyatakan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim sebagai presiden parti.

Bagaimanapun daripada 140 orang yang diarahkan hadir, hanya 120 muncul. Antara pemimpin yang tidak menyertai pemukiman tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, dan Amirudin yang memang diketahui penyokong timbalan presiden PKR itu.

Semasa berucap di majlis kesyukuran untuk Azmin pada Ahad lalu Amirudin – yang juga menteri besar Selangor – berkata, beliau sudah menerima amaran daripada PKR dan berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin ekoran tidak menandatangani resolusi berkenaan.

“Saya telah diperingatkan bahawa bakal berdepan tindakan disiplin (akibat teguran) tetapi saya tidak rasa gentar atau keliru kerana Allah bersama kita,” katanya.

Saifuddin menjelaskan PKR tidak memutuskan sebarang tindakan ke atas mana-mana pemimpin yang tidak menandatangani resolusi tersebut.

“Kami tak ada bincang pun perkara itu, nak tandatangan atau pun tidak, itu pilihan mereka.

“Kami cuma kata, kalau mereka hadir pemukiman, itu lebih baik sebab resolusi berkenaan dirangka setelah kami melakukan percambahan minda dan berbincang untuk nak menggerakkan parti.

“Jadi kalau kita berada di situ kita akan tahu bagaimana resolusi itu dirangka. Jadi, tak timbul rasa bimbang diambil tindakan dan sebagainya. Kita tak sampai ke situ (ambil tindakan) pun.

“Jadi, saya tak tahulah daripada mana dia (Amirudin) dapat (maklumat akan dikenakan tindakan disiplin),” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, situasi itu adalah seperti berikut:

Pertama, Amirudin tersenarai sebagai peserta pemukiman namun beliau memilih untuk tidak hadir.

Kedua, pemukiman berkenaan berakhir dengan satu resolusi dengan ditandatangani oleh semua yang hadir.

Justeru Saifuddin mengingatkan, kepemimpinan PKR yang benar-benar ikhlas berjuang dan mahu melihat parti berjaya mempunyai satu pilihan saja, iaitu menyertai program parti yang menjadi medan mereka bermusyawarah.

Sebaliknya kata Saifuddin kegagalan pemimpin tertentu dalam program tersebut tetap tidak memberi gangguan besar kepada PKR.

“Apakah perpaduan parti terganggu? Jawapannya: tidak.

“Apakah yang berlaku? Yang berlaku ialah, sebilangan pemimpin memilih untuk tidak hadir dan kemudian membuat kenyataan terbuka melalui media.

“Sebab itu saya anjurkan supaya hadir dalam program-program parti, baik pemukiman atau mesyuarat biro politik atau mesyuarat-mesyuarat lain kerana ia penting.

“Sebab itu sahaja pilihan yang kita ada, kalau kita betul-betul jujur dan ikhlas untuk melihat parti ini bergerak,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda