‘Apa saja pendirian PAS, Umno akan bersama’


shadow

Umno dilapor akan menyokong apa sahaja pandangan PAS, termasuk dukungan presidennya Abdul Hadi Awang terhadap perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sehingga habis penggal.

“Apabila timbul satu pandangan yang begitu, maka Umno akan duduk bersama berbincang dengan PAS, bukan sekadar memberi reaksi kepada media sahaja.

“Secara prinsip, apa saja pendirian PAS, Umno akan bersama. Kita akan sentiasa sependapat,” kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa seperti dilapor Sinar Harian.Iklan

Sabtu lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata partinya dan Umno akan bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat PRU14.

Ini meskipun terdapat perjanjian dalam PH untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri kepada penggantinya Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Harakahdaily memetik Abdul Hadi sebagai berkata parti pimpinan Mahathir, Bersatu perlu dipertahankan kerana parti lain yang majmuk kaum dalam PH “tidak berwajah kepimpinan orang Islam.”

Mahathir dan Hadi dalam pertemuan di Putrajaya sebelum ini.

Jelas Hadi yang juga anggota parlimen Marang, PH dikuasai oleh orang bukan Islam.

Mengulas pendirian Abdul Hadi itu, Annuar berkata tiada pemimpin dalam PH yang layak menggantikan Mahathir bagi membawa Malaysia kepada keadaan lebih baik.

“Kita faham asasnya, Dr Mahathir perlu dikekalkan demi kestabilan negara dan kita bimbang pertukaran perdana menteri akan mengancam kestabilan ekonomi.

“Dan juga mungkin kerana dilihat tidak ada satu pengganti yang boleh membawa negara kepada keadaan yang lebih baik, maka kita nampak ada meritnya apa yang disebutkan oleh presiden PAS,” Annuar dilaporkan sebagai berkata.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda